UMNO akan memutuskan tarikh pemilihan parti, termasuk bagi jawatan tertingginya pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, esok 27 Januari 2023.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ia membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan, selain peringkat bahagian, yang dijangka diadakan serentak di 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih pucuk pimpinan tertingginya.
“Mesyuarat esok kita akan memutuskan mengenai tarikh pemilihan yang kita kena buat sebelum 19 Mei depan. Sebab dalam perlembagaan UMNO, pemilihan hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan selepas pembuangan undi pilihan raya (peringkat) Dewan Rakyat.
“Mesyuarat MKT esok malam adalah untuk memutuskan tarikh sebelum 19 Mei itu, bila tarikh mesyuarat cawangan, bahagian dan pemilihan yang dibuat (serentak) dalam tarikh itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dan Uniti Asia Group Of Bussines, di sini, hari ini.
Difahamkan, parti itu sudah menetapkan untuk mengadakan pemilihannya, Februari ini, bermula dengan mesyuarat dan pemilihan di lebih 20,000 cawangannya di seluruh negara.
Kemudian, diikuti mesyuarat serta pemilihan di 191 bahagian seluruh negara untuk memilih jawatan tertingginya, termasuk presiden dan timbalan presiden, jika dipertandingkan kali ini.
“Kalau tidak Februari, Mac, kalau tidak April, yang pasti sebelum 19 Mei ini. Kalau saudara buat jangkaan itu (Februari atau Mac) tepatlah, kalau tak Februari, Mac,” kata Ahmad ketika ditanya sama ada pemilihan akan bermula bulan depan.
Pemilihan UMNO kali ini dianggap getir bagi parti itu dalam menyusun kembali saf kepemimpinan mereka selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Mengikut ramalan pemerhati politik juga, pemilihan parti itu turut dilihat berupaya memberi kesan terhadap kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini, terutama jika tampuk kepemimpinan UMNO bertukar tangan.
Sementara itu, ditanya sama ada UMNO sudah menerima sebarang maklum balas daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai aduan dikemuka ahlinya susulan isu usul pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Ahmad berkata, tidak timbul sebarang masalah berhubung perkara itu.
“Saya tidak nampak ada masalah apa-apa di situ,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini meluluskan usul supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini, namun usul itu mendapat kritikan segelintir ahli.
Susulan itu, dua ahli UMNO, minggu lalu menghantar aduan kepada ROS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022, berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.