Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan sekumpulan individu mendakwa waris Sultan Sulu berhubung pertikaian dengan kerajaan Malaysia berkaitan bayaran pajakan ke atas Sabah.
Kumpulan itu mahu mencabar keputusan mahkamah lebih rendah sebelum ini yang membatalkan pelantikan seorang penimbang tara untuk mendengar pertikaian itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata Putrajaya baru menerima pengesahan rasmi mengenai keputusan Mahkamah Perlembagaan itu.
Pada Feb 2022, sebuah mahkamah timbang tara Perancis mengarahkan Putrajaya membayar pampasan USD14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Penimbang tara Gonzalo Stampa memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kesultanan Sulu di Filipina dengan wakil Syarikat British Borneo Utara yang mentadbir Sabah ketika itu.
VIDEO berkaitan:
Azalina berkata, keputusan mahkamah perlembagaan itu mengesahkan pembatalan Stampa sebagai penimbang tara.
“Justeru, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengesahkan lagi pendirian Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dengan pembatalan itu bermakna Stampa tiada kuasa untuk menjadi penimbang tara dan ini secara tidak langsung menamatkan prosiding timbang tara.
Sebaliknya, Stampa memutuskan “Final Award” yang tidak sah mengikut undang-undang dengan membenarkan tuntutan RM62.59 bilion waris Sultan Sulu terhadap wilayah Sabah, katanya.
Pertikaian itu berasal daripada perjanjian pajakan pada 1878 antara Sultan Sulu ketika itu, Jamal Al Alam dengan wakil Syarikat British Borneo Utara Baron de Overbeck dan Alfred Dent.
Mengikut perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan sebahagian besar Sabah kepada Overbeck dan Dent, yang bersetuju mereka dan waris mereka akan membayar waris sultan itu Peso Mexico 5,000 setiap tahun.
Pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II meninggal dunia tanpa waris. Bayaran itu ditangguhkan sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik mahkamah pada 1939.
Malaysia mengambil alih pembayaran itu susulan perjanjian kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia pada 1963.
Bayaran itu yang bersamaan RM5,300 setahun dihentikan pada 2013 selepas pencerobohan sekumpulan lelaki bersenjata di Lahad Datu, Sabah.