Umno perlu bangkit dan menyusun strategi perang yang baharu termasuk tidak boleh lagi hanya bertahan, sebaliknya turut menggunakan taktikal menyerang untuk kekal relevan dalam arena politik negara.
Meluahkan pandangan itu, Setiausaha Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata, Umno perlu menjelaskan beberapa isu penting yang sukar diterima dan difahami oleh ahli.
“Contohnya penyertaan Umno dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP dan ‘No Anwar No DAP’ (dilaungkan sebelum ini).
“Rata-rata ahli tidak faham rasional di sebalik kerjasama itu. Masa lapan bulan yang singkat sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu tidak sempat untuk menyampaikan kefahaman mendalam kepada ahli.
“Bahagian dan cawangan gagal untuk menjelaskan kepada ahli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai apa perlu dilakukan Umno selepas kalah teruk dalam PRN Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, katanya, kepemimpinan Umno di semua peringkat tidak boleh mengambil remeh khususnya mengenai keperluan menjelaskan rasional Umno dalam Kerajaan Perpaduan.
“Mereka (pemimpin Umno) mesti turun padang bertemu dan berdialog dengan ahli. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan Umno terus dikhianati oleh ahli.
“Umno masih relevan dan akan tetap relevan selagi ahlinya yang berjumlah kira-kira 3.5 juta keahlian tidak mengkhianati,” katanya.
Menurutnya, walaupun keputusan pilihan raya tidak berpihak kepada Umno tetapi penyokong setia parti politik terbesar Melayu tetap mempertahankan.
Malangnya, beliau berkata, akibat ada ahli yang tidak setia dan belot maka Umno kecundang dan kalah teruk.
“Dalam erti kata yang mudah Umno kalah teruk sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga PRN yang baru berlalu kerana dikhianati oleh ahlinya sendiri.
“Veteran mengalu-alukan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengambil tindakan pembersihan besar-besaran terhadap ahli yang belot dan mengkhianati Umno.
“Tidak ada gunanya Umno berbangga dengan jumlah ahli yang ramai tetapi tidak berkualiti dan setia kepada parti,” katanya.
Keputusan PRN kali ini bagaikan kesinambungan PRU-15 tahun lalu apabila jelas menunjukkan gelombang peralihan undi orang Melayu daripada Umno kepada Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai gabungan Pas dan Bersatu.
Umno parti teras Barisan Nasional (BN) bertanding 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), hanya memperoleh 19 kerusi dengan 14 disumbangkan oleh kemenangan calonnya di Negeri Sembilan.
Hilang sepenuhnya kerusi Dun di Kedah dan Terengganu serta hanya menang satu kerusi di Kelantan, selain mendapat masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang.