Algeria menarik balik tayangan filem ‘Barbie‘ dari pawagamnya kerana dipercayai atas faktor pelanggaran nilai-nilai moral.
Filem komedi fantasi terbitan Warner Bros Pictures itu mula ditayangkan di pawagam negara berkenaan pada 19 Julai lalu, namun dihentikan untuk tontonan umum sejak Ahad lepas.
Lapor laman berita tempatan dalam talian, 24H Algerie, ‘Barbie’ telah dialih keluar kerana ‘melanggar moral’.
Sementara laman berita TSA melaporkan, Algeria telah terlibat dalam kontroversi mengenai ‘Barbie’ kerana adegan-adegan yang ditujukan adalah untuk penonton dewasa serta terdapat ‘kiasan’ homoseksual.
Ia berkata filem itu secara diam-diam ditarik balik dari pawagam.
Bagaimanapun, Kementerian Kebudayaan Algeria, yang biasanya mengumumkan larangan filem dan alasannya, setakat ini masih berdiam diri.
Selain Algeria, Kuwait juga menghalang tontonan filem itu pada Khamis lalu kerana kebimbangan mengenai ‘etika awam’.
Begitu juga di Lubnan, Kementerian Kebudayaannya meminta pihak berkuasa mengharamkan ‘Barbie’ kerana mempromosikan homoseksual.
‘Barbie’ juga masih tidak ditayangkan di Qatar, walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai ‘penolakan’ terhadap filem itu. -AFP