Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan dalam kebakaran di Kpg Rembus
KOTA SAMARAHAN: Seorang nenek bersama dua cucunya ditemui rentung dalam keadaan berpelukan dalam satu insiden kebakaran di Kampung Rembus, di sini petang semalam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Uka Jenal, 50-an, serta dua cucunya iaitu Cristiano Ronaldo Kegan, 6, dan Ronnie Austin, 4.
Menurut suami mangsa, Tahir Sabau,57, semasa kejadian, mereka dikatakan baharu pulang dari pusat bandar bersama tiga cucu mereka apabila melihat rumah mereka sudah mula dijilat api sekitar jam 2 petang.
“Risau akan keadaan di dalam rumah, dia (mangsa) telah bertindak memasuki rumah diikuti dua cucu kami untuk memeriksa keadaan di dalam rumah, tetapi tidak tahu kenapa mereka tidak keluar-keluar selepas itu sehingga api semakin marak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Abdul Rahman Ahmad semasa dihubungi semalam mengesahkan kejadian dan memberitahu kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur rumah tersebut.
“Api dipercayai bermula dari bahagian dapur rumah tersebut sebelum merebak ke bahagian tingkat atas rumah dua tingkat separuh simen itu.
“Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui rentung di tingkat atas rumah tersebut,” katanya.
Menurut sumber bomba, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.18 petang dan tiba di tempat kejadian pada jam 2.30 petang.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 3 petang dengan kekuatan anggota seramai 11 orang serta sebuah jentera bomba,” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga yang bekerja atau melawat rumah saudara-mara bergegas pulang selepas menerima berita tragedi tersebut.
Turut difahamkan, Cristiano Ronaldo mempunyai seorang adik berusia setahun manakala Ronnie mempunyai seorang adik dan seorang kakak.
– Borneo Post