Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan pacuan empat roda di simpang empat Persiaran APEC, di sini, Rabu.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda, Foo Hong Kam, 55, maut di tempat kejadian manakala pemandu bas RapidKL, Ismail Ahmad, 54, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata kejadian dipercayai berlaku apabila bas yang dipandu Ismail melanggar lampu isyarat merah dan merempuh kenderaan pacuan empat roda tersebut.
Bas tersebut turut melanggar sebuah motosikal, namun penunggang tersebut hanya mengalami cedera ringan, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata keseluruhan kejadian dirakam kamera litar tertutup yang ditempatkan di situ.