JABATAN IMIGEREN menumpaskan sindiket pemalsuan pasport didalangi warga Bangladesh yang menjadikan sebuah rumah sebagai markas di Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata dalam operasi kira-kira 6.30 pagi itu, dua warga Bangladesh berusia 26 dan 28 tahun dipercayai orang kanan sindiket ditahan ketika membawa bungkusan mengandungi 105 naskah pasport palsu.
Beliau berkata susulan itu, seorang lagi suspek berusia 33 tahun dipercayai dalang utama sindiket ditahan di sebuah rumah yang dijadikan lokasi membuat pasport palsu.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada penemuan 15 lagi pasport palsu serta peralatan membuat pasport antaranya kulit pasport, komputer riba serta mesin pencetak.
“Jumlah keseluruhan pasport palsu yang dirampas dalam operasi ini adalah 120 pasport antaranya pasport negara Indonesia, Bangladesh dan Myanmar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ruslin berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mereka menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau pasport sebagai pelanggan.
Menurutnya, pasport palsu itu dijual pada harga RM500 hingga RM700 bagi setiap satu dan mereka dipercayai mampu menghasilkan lima hingga 10 pasport palsu setiap hari bergantung kepada permintaan pelanggan.
Katanya, proses penghantaran pasport juga lebih moden apabila dipercayai menggunakan khidmat kurier dan segala transaksi pembayaran dilakukan secara dalam talian.
“Dua orang kanan itu ditahan ketika cuba pos pasport kepada pelanggan. Modus operandi sindiket ini lebih canggih. Kalau dulu penyerahan pasport guna serahan tangan tetapi sekarang berbeza… bayaran juga bukan secara tunai,” katanya sambil menambah, pihaknya akan mengesan akaun bank yang digunakan sindiket berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati dalang utama dan seorang daripada suspek mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah sehingga 2024 manakala seorang lagi tiada sebarang dokumen.
“Kita percaya masih ada saki baki sindiket ini dan usaha memburu mereka sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan ditahan selama 14 hari di Depot Imigresen di sini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – SETERUSNYA