ROMPIN – Dua orang maut selepas sebuah bas yang membawa 39 orang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Bahau-Keratong, di sini hari ini 9 Jun 2024.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi itu, bas ekspres berkenaan membawa guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka menuju ke Terengganu bagi menyertai rombongan penanda aras.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, setakat ini dua mangsa disahkan meninggal dunia.
“Saya tidak dapat memberikan maklumat lanjut tetapi ia melibatkan 30 hingga 40 orang yang mana bas telah terbalik dan jatuh ke lereng bukit.
“Setakat ini dua orang disahkan meninggal dunia dan mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah,”katanya di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 12.31 pagi.
Menurutnya, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi dan tiba jam 12.56 pagi.
“Operasi menyelamat turut dibantu anggota dari BBP Chini, BP Segamat,BBP Jalan Abdullah, Segamat dan BBP Jempol selain polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Anggota terlibat membantu mengeluarkan mangsa dalam bas yang terjunan ke bawah cerun,” katanya.
Ismail berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.
“Pemandu treler dilaporkan selamat,” katanya.
BACA juga: