KUCHING, 21 Julai — Mayat seorang lagi penumpang yang hilang, jurutera Sebiro Holdings Peter Ato Mayau, antara empat orang yang menaiki Eurocopter EC 120 yang terhempas dekat muara Lingga, Sri Aman ditemui Sabtu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak SAC Datuk Law Hong Soon berkata mayat Ato dijumpai dihanyutkan di pantai Kampung Tebelu, Sebuyau oleh orang-orang kampung yang membantu operasi mencari dan menyelamat kira-kira 2 petang.
Mayatnya dihantar ke hospital terdekat di Simunjan untuk bedah siasat, kata Law kepada Bernama di sini.
Ato, 53, yang berkhidmat sebagai naib-presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, disebut-sebut akan bertanding di kawasan parlimen Mambong dalam pilihan raya umum akan datang.
Terdahulu, Law mengesahkan mayat seorang lagi penumpang juruukur Siti Khuzaimah Anuar, 27, yang ditemui nelayan tempatan juga dihantar ke Simunjan untuk bedah siasat.
Law berkata gerakan tiga pihak mencari dan menyelamat yang diselaraskan dari udara, darat dan laut ditingkatkan bagi mencari baki seorang lagi penumpang helikopter itu, arkitek Henry Lau Tee Yong, 42.
Jabatan Penerbangan Awam mengerahkan kakitangannya ke kawasan kemalangan, kira-kira 150km dari sini bagi menyiasat punca nahas, manakala siasatan awal mendapati helikopter milik Sebiro itu tenggelam sebaik sahaja terhempas di perairan, katanya.
Nelayan menyelamatkan juruterbang pesawat malang tersebut, Rico Steger, 35, berasal dari Jerman, yang berenang selama empat jam dalam arus deras selepas nahas berlaku.
++++++++
Nelayan Temui Mayat, Dua Orang Masih Hilang Selepas Nahas
KUCHING, 21 Julai — Nelayan pagi tadi menemui mayat juruukur Siti Khuzaimah Anuar, 21, salah seorang daripada tiga penumpang yang hilang selepas pesawat Eurocopter EC 120 yang mereka naiki jatuh terhempas dekat muara Lingga, Sri Aman, semalam.
Mengesahkan demikian, timbalan pesuruhjaya polis Sarawak, SAC Datuk Law Hong Soon berkata mayat Siti Khuzaimah, yang dihanyutkan arus deras Batang Lupar, dijumpai kira-kira pukul 11.10 pagi.
“Mayat sudah dibawa ke Sebuyau untuk dihantar ke hospital terdekat di Simunjan bagi tujuan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Law berkata gerakan tiga pihak mencari dan menyelemat yang diselaraskan dari udara, darat dan laut ditingkatkan dalam usaha mencari dua lagi penumpang helikopter itu, jurutera Pepter Ato Mayau, 53, dari Sebiro Holdings dan arkitek Henry Lau Tee Yong, 42, yang masih belum ditemui.
Jabatan Penerbangan Awam mengerahkan kakitangannya ke kawasan kemalangan, kira-kira 150km dari sini bagi menyiasat punca nahas, manakala siasatan awal mendapati helikopter milik Sebiro itu tenggelam sebaik sahaja terhempas, katanya.
Nelayan menyelamatkan juruterbang pesawat malang tersebut, Rico Steger, 35, berasal dari negara Jerman, yang berenang selama empat jam di arus deras selepas nahas berlaku.
Juruterbang itu sedang mengangkut ketiga-tiga mangsa dari Kuching untuk membuat tinjauan satu projek di Nanga Merit, Kapit, kira-kira pukul 2 petang semalam ketika kemalangan terjadi.