KUCHING: Kelengkapan perkahwinan ada yang sudah dibeli tetapi apa yang menyedihkan, bakal pengantin perempuannya sudah pergi buat selamanya.
Demikian cerita ringkas seorang saudara Siti Khuzaimah Anwar, 27, yang disahkan terkorban dalam nahas helikopter di Sungai Triso, Sri Aman kelmarin.
Mayat Khuzaimah, seorang daripada tiga mangsa helikopter Eurocopter EC 120 yang hilang, dijumpai terapung di kawasan perairan dekat Maludam semalam selepas terhempas pada Jumaat di Sungai Triso, Sri Aman.
Allahyarhamah dikatakan bakal diijabkabulkan dengan tunangannya, Mohd Faitullah Ali, pada 30 November ini disusuli dengan majlis persandingan pada 2 Disember.
“Apa yang menyedihkan saya apabila melihat kelengkapan perkahwinan Allahyarhamah,” katanya yang enggan disiarkan nama ketika ditemui di kediaman mangsa bersama ibu bapanya di Semariang, Lorong Haji Babel di sini, semalam.
Suasana sedih menyelubungi rumah Khuzaimah sebaik sahaja mendengar berita memilukan menyatakan mayatnya dijumpai pada kira-kira jam 11 pagi semalam.
Khuzaimah bekerja sebagai juruukur bahan dengan Sebiro Holdings.
Ibu bapa dan adik-beradik mangsa tidak berada di rumah cuma yang ada ialah ahli-ahli keluarga lain dan rakan-rakannya kelihatan melayan perasaan sedih masing-masing tatkala mendengar nasib malang menimpa mangsa.
“Hujung tahun ini, Siti akan berkahwin. Saya memang tidak menjangka perkara ini akan berlaku terhadapnya,” demikian menurut Aimi Nuraida Ali Hassan yang tidak dapat menahan sebak mengenang keakrabannya dengan Allahyarhamah sejak sekolah rendah.
Seorang lagi rakan Allahyarhamah, Normalina Nawawi memberitahu, dia memang sedih apabila mendengar berita Allahyarhamah terkorban dalam insiden tersebut.
“Setahu saya, Allahyarhamah berkahwin tidak lama lagi setelah majlis pertunangan diadakan pada awal tahun ini,” ujarnya.