SEPANG – Seramai 100 penuntut Malaysia dari Syria termasuk sebahagiannya bersama keluarga masing-masing pulang ke tanah air hari ini menerusi tiga penerbangan.
Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot berkata kumpulan pertama seramai 16 orang itu menaiki pesawat Qatar Airways dari Beirut tiba pada 3.10 petang, diikuti kumpulan kedua 42 orang dengan penerbangan Emirates Airline dari Damsyik pada 3.40 petang.
“Kumpulan ketiga seramai 42 orang dijangka tiba pada 8.40 malam ini menerusi penerbangan Qatar Airways dari Beirut. Apa yang penting adalah kesemua rakyat Malaysia selamat di negara bergolak itu,” katanya kepada pemberita selepas menyambut dua kumpulan pelajar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Semalam kumpulan pertama seramai tujuh pelajar Malaysia selamat tiba di tanah air berikutan konflik yang tercetus di negara Timur Tengah itu menerusi penerbangan Emirates.
Sehubungan itu Riot menganggap misi untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Syria telah berakhir.
Bagaimanapun Riot berkata masih terdapat pelajar, pekerja Malaysia di Syria dan beberapa pegawai kedutaan serta duta yang masih belum pulang ke tanah air.
“Bagi pelajar yang enggan pulang ini, kita akan terus pujuk mereka untuk pulang. But once they have decided tak nak balik, pegawai-pegawai kita di kedutaan terpaksa balik juga kerana kedutaan kita sudah ditutup untuk sementara,” katanya.
Sementara itu Khairul Nizham Mohd Said, 31, penuntut Maahad Fatah Islami, Damsyik di Syria tidak dapat melupakan pengalaman mendengar bunyi tembakan berterusan dan deretan kereta kebal yang lalu lalang dengan jarak hanya 50 meter dari rumah sewanya di Damsyik.
Katanya hampir seminggu beliau dan tiga rakan serumahnya menempuhi detik cemas itu sehingga menyebabkan mereka tidak berani keluar rumah.
“Untuk membeli makanan, saya dan kawan-kawan akan keluar sebaik sahaja tembakan berhenti dan cepat-cepat pulang. Pada bulan puasa, saya dan kawan-kawan berpindah ke rumah rakan lain yang lebih selamat,” katanya.
Siti Afiqah Zahari pelajar tahun pertama jurusan dakwah Islami dari Universiti Sheikh Ahmad Kiftaro pula berkata sejak pertempuran itu tercetus, bekalan elektrik di rumah sewanya di Dimas sering terputus menyebabkan beliau dan rakan-rakannya sukar untuk mengulang kaji pelajaran.
“Selain itu bekalan gas masak tiada. Jadi kami terpaksa memasak menggunakan periuk elektrik. Tetapi apabila bekalan elektrik terputus ia menimbulkan masalah untuk kami,” kata pelajar berusia 20 tahun itu.
Sementara itu lepasan Universiti Fatah Islami, Norsuriati Zakaria, 27, bersama suaminya Nasiruddin Jumain, 29, yang masih menuntut di universiti yang sama, berkata mereka sekeluarga mendengar bunyi tembakan yang bertalu-talu.
“Memang kami sekeluarga terdengar bunyi tembakan, tetapi lokasi itu jauh dari kawasan kediaman. Bagaimanapun, saya bersyukur semuanya selamat,” katanya yang mempunyai seorang anak bernama Muhammad Fatieh berusia setahun.