CHENOR – Ketua Wanita Umno Cawangan Felda Jengka 3, Rahimah Abdul Rahman dan rakannya nyaris maut setelah kenderaan dinaiki mereka terbabas hingga hampir terjunam ke dalam sungai dekat Kampung Jengka Batu 13, di sini, semalam.
Rakannya, Kamariah Mat Sharif, 64, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mereka berdua dalam perjalanan pulang dari Temerloh ke Jengka 3 atas urusan memperbaharui cukai jalan kenderaan.
Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, kereta jenis Proton Saga BLM yang dipandu Rahimah hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pengadang jalan.
“Akibat rempuhan itu, kereta seakan terbang dan menjunam ke arah tepi jambatan dan nyaris masuk ke dalam sungai tetapi terhalang oleh sebatang paip besar.
“Orang ramai membantu mengeluarkan kami berdua dari kereta. Keadaan Rahimah lemah kerana tekanan darah tinggi akibat terkejut dengan apa yang baru kami alami.
“Alhamdulillah, kami berdua selamat dan hanya mengalami luka kecil,” katanya kepada Sinar Harian.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan pekan Awah dengan bantuan orang ramai.
Kamariah berkata, mereka berdua keluar dari rumah ke Temerloh pada jam 2 petang selepas Rahimah beria-ria mahu mengambil cukai jalan yang sudah diperbaharui kerana tamat tempoh semalam.
“Memang Rahimah nampak penat kerana kami berdua mempunyai jadual aktiviti kemasyarakatan yang agak padat sepanjang Ramadan ini.
“Rahimah mahu juga ambil cukai jalan hari ini (semalam) kerana esok (hari ini) dia perlu membawa anak yatim ke satu majlis sumbangan menggunakan kenderaan ini,” katanya.