LANGKAWI – Seorang remaja maut manakala seorang lagi rakannya cedera parah dalam kemalangan kereta awal pagi semalam di jalan Sungai Mengulu, Kuah menuju ke Padang Mat Sirat, di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 2.15 pagi itu, mangsa Muhammad Afiq Noor Azam, 18, dari Kampung Kuala Teriang yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan dipercayai kecederaan dalaman.
Rakannya mangsa yang juga pemandu kereta, Amirul Ihsan Ismail, 22 dari Kampung Padang Kandang, cedera parah selepas patah paha kiri Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut.
Kejadian itu, Muhammad Afiq dan Amirul Ihsan dikatakan dalam perjalanan dari Kuah menuju ke Padang Matsirat sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok dan melanggar tiang lampu jalan.
Kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing dikeluarkan anggota bomba dalam masa 30 minit selepas terpaksa memotong bahagian bumbung.
Bapa Muhammad Afiq, Noor Azam Abdullah, 41, berkata, dua hari sebelum kejadian anaknya ada menunjukkan perubahan ganjil ketika berbuka puasa bersama keluarga dirumahnya.
“Dua hari lalu, arwah (Muhammad Afiq) bersungguh-sungguh meminta untuk mencium pipi neneknya yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Malahan, beberapa hari sebelum itu dia asyik menyebut nama moyangnya yang meninggal dunia kira-kira empat bulan lalu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital semalam.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menyangka itu adalah perubahan terakhir arwah untuk meninggalkan mereka sekeluarga.
“Saya dapat kesan dan tidak sangka ia menjadi petanda arwah akan pergi untuk selama-lamanya, arwah adalah anak harapan bagi meneruskan legasi perniagaan dobi yang keluarga kami jalankan,” katanya.
Norazam berkata pemergian Muhammad Afiq satu kehilangan besar pada keluarga kerana arwah adalah anak sulung dari empat adik beradik.
“Sebelum kejadian saya mengarahkan arwah untuk menghantar tempahan dobi di Lanai Resort (hotel), kemudian selepas itu kawannya (Amirul Ihsan) datang untuk menjemput makan malam bersama kawan-kawan mereka di Bandar Kuah.
“Sebelum, Muhammad Afiq akan menggunakan keretanya sendiri sekiranya dia keluar ke mana-mana, mungkin semua itu petanda dia. “Apapun saya terima dengan reda atas apa yang terjadi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah, berkata siasatan awal mendapati, ketika kejadian dua remaja terbabit dikatakan dalam perjalanan menuju ke Padang Matsirat, sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok dan melanggar tiang lampu jalan.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah Muhammad Afiq dituntut ahli keluarganya pada jam 11.20 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Teriang, di sini, kira-kira jam 2 petang, semalam.