Iskandar Malaysia diiktiraf sebagai destinasi keempat terbaik Zon Bebas Global Masa Hadapan 2012/2013 oleh FDI, majalah penerbitan antarabangsa yang dimiliki The Financial Times Ltd dan sekali gus ia meningkatkan daya saing sebagai pilihan terbaik untuk destinasi pelaburan.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim berkata, pengiktirafan ini adalah satu kejutan yang amat menggembirakan.
“Pengiktirafan ini pasti akan membantu Iskandar Malaysia diingati oleh usahawan, pemimpin korporat, dan pembuat dasar. Kami di Irda sentiasa komited mengekalkan dan meningkatkan daya tarikan serta kemudahan menjalankan perniagaan Iskandar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Ismail berkata, dari 2006 sehingga akhir Jun tahun ini, Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan kumulatif komited sebanyak RM95.45 bilion atau kira-kira AS$30.24 bilion.
“Ini adalah satu gambaran bahawa strategi dan pelan pelaksanaan Iskandar Malaysia adalah sangat komprehensif dan mesra pelabur,” katanya.
Sementara itu, kedudukan pertama Zon Bebas Global Masa Hadapan 2012/2013 dinamakan FDI sebagai Zon Bebas Lapangan Terbang Dubai selain Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai di tempat kedua dan Zon Perdagangan Bebas Shanghai Waigaoqiao di tangga ketiga.
Menurut laporan majalah tersebut, sejumlah 600 zon bebas dari seluruh 120 negara yang dijemput telah ditugaskan untuk melengkapkan kaji selidik kedua-dua data kualitatif dan kuantitatif mengenai zon bebas.
Sejumlah 56 zon menyertainya dan mengemukakan butir-butir yang diperlukan di bawah lima kategori iaitu insentif, kemudahan, keberkesanan kos, pengangkutan dan promosi terbaik FDI.