Keseronokan beriadah ketika ponteng sekolah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dua murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Putatan mati lemas setelah mandi manda di laut berhampiran Taman Teluk Villa di sini.
Mangsa dikenali sebagai Mohammad Nurrabbiyel Ismail, 9, dan Sufian Sahide, 9, ditemui terapung berhampiran tebing perumahan taman itu oleh beberapa penduduk setempat sekitar jam 6 petang Isnin lepas.
Dikatakan kedua-dua mangsa sebelum itu telah ponteng sekolah sidang petang bersama dua lagi rakan yang lain untuk mandi di lokasi berkenaan.
Beberapa saksi kejadian mengatakan murid-murid itu pada mulanya telah ditegah oleh sekumpulan nelayan berhampiran tempat kejadian untuk mandi memandangkan keadaan laut bergelora berikutan cuaca buruk namun tidak diendahkan mereka.
Ketika ditemui, kedua-dua mangsa terbabit masih lengkap berpakaian sekolah dan berkasut namun disahkan meninggal dunia akibat mati lemas oleh petugas hospital yang tiba di lokasi insiden.
Menurut Abdul Malik Abdul Raup, 40an, yang merupakan salah seorang penghuni di taman itu, pada mulanya dia diberitahu oleh sekumpulan remaja yang terlihat benda terapung seakan-akan mayat kanak-kanak berpakaian sekolah.
“Mengetahui kejadian itu, saya lalu memaklumkan kepada kejiranan perumahan ini untuk melakukan pemeriksaan.
“Setelah tiba di lokasi itu, saya dan beberapa lagi rakan amat terperanjat apabila mendapati benda terapung terbabit rupa-rupanya adalah mayat dua kanak-kanak lemas.
“Kami kemudiannya menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan,” katanya yang juga merupakan guru sidang pagi di SK Putatan.
Sementara itu, bapa kepada salah seorang mangsa terbabit, Ismail, 40an, dari Kampung Sailan di sini, tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila mendapati anaknya mati lemas dalam kejadian itu kerana menyangkakan Mohammad Nurrabbiyel berada di sekolah.
“Saya begitu risau apabila mendapati Nurrabbiyel tidak berada di sekolah ketika saya menjemputnya pulang dengan motosikal seperti kebiasaan.
“Setelah mengetahui kehilangannya, saya kemudiannya pergi mencari di sekitar kawasan dan kemudiannya diberitahu ada kejadian lemas melibatkan kanak-kanak di taman perumahan ini.
“Atas naluri seorang bapa, saya kemudiannya pergi meninjau di taman ini dan rupa-rupanya salah seorang mangsa adalah anak saya,” katanya yang sebak mengenangkan kehilangan anak keenamnya itu.
Kedua-dua mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan untuk proses siasatan lanjut serta tuntutan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Hasil siasatan kita mendapati kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka pergi berenang di lokasi berkenaan.
“Tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian ini kerana kedua-dua mangsa telah lemas ketika mandi laut,” katanya.
Ratan turut menasihatkan kepada ibu bapa supaya sentiasa peka dengan pergerakan anak mereka terutamanya ketika musim cuti sekolah bagi mengelak kejadian seumpama daripada terjadi di masa hadapan.