Keupayaan mental Muhdalena Ahmad, yang dituduh melakukan jenayah ugutan dan memiliki sebilah pedang mungkin perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum perbicaraan ke atasnya dimulakan.
Peguam kepada wanita itu, M. Visvanathan berkata terdapat keperluan mengkaji sama ada dia berupaya untuk dibicarakan.
Beliau berkata jika perlu, beliau akan membuat permohonan supaya wanita itu menjalani penilaian psikiatri pada masa yang sesuai.
“Pada masa ini saya tidak mempunyai fakta yang cukup. Saya perlu menemu bual dan berbincang dengannya sebelum mengambil keputusan membuat permohonan supaya dia menjalani penilaian psikiatri.
“Jika didapati dia berkeadaan tidak waras (fikiran), saya akan membuat perakuan kepada Peguam Negara supaya menggugurkan pertuduhan terhadapnya,” kata Visvanathan di akhir sesi pengurusan kes tersebut di Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini, pada Rabu.