JOHOR BAHARU, 12 Sept — Seorang pegawai kanan kastam meninggal dunia akibat serangan jantung setelah menyelamatkan keretanya dalam kebakaran yang dipercayai perbuatan khianat, di kuarters Kastam Johor, Jalan Biru 2, Taman Pelangi, di sini pada Rabu.
Timbalan Pengarah Kastam Bahagian Pengurusan Pematuhan negeri Ahmad Hassan, 55, ditemui dalam keadaan pengsan selepas mengalihkan keretanya kira-kira 30 meter dari rumah dua tingkat separa berkembar itu yang mengalami kebakaran pada pukul 4 pagi.
“Setelah mengalihkan keretanya, mangsa keluar dari kereta untuk menenangkan diri. Kemudian, rakan serumahnya mendapati mangsa terbaring di sebelah keretanya,” kata pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh di sini.
Menurut beliau, petugas paramedik yang dipanggil untuk memberi bantuan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana serangan jantung.
Jenazah Ahmad yang masih bujang dibawa ke Terengganu untuk dikebumikan, katanya.