Sekali lagi amarah umat Islam yang sedang nyenyak dikejutkan dengan kemunculan filem amatur berjudul Innocence of Muslims.
Filem menghina Islam dan mempersendakan Nabi Muhammad SAW itu mendorong massa dan umat Islam di Libya dan Mesir menyerbu kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Di Libya, sekumpulan rakyatnya menyerang konsulat AS di Benghazi hingga menyebabkan kematian Duta Besar AS ke Libya, J Christopher.
Seorang lelaki bernama Sam Bacile mengaku mengarah dan menerbitkan filem berbajet murah itu.
Bacile juga menyatakan dia warga California, berketurunan Israel.
Ketika diwawancara Associated Press (AP), Bacile menyatakan “Islam adalah kanser”.
Media di AS mengatakan Sam Bacile bukanlah nama sebenar pengarah filem itu. Dia juga bukan berketurunan Israel. Tidak diketahui identiti sebenarnya. Ada juga dakwaan, dia berketurunan Arab Kristian.
Menurutnya ketika diwawancara, Bacile mendakwa usianya 56 tahun, tetapi kepada Wall Street Journal, dia mendakwa berusia 52 tahun.
Namun, berbeza jika melihat profilnya di akaun YouTube, di mana dia berkata berusia 75 tahun.
“Saya pernah bertemu dengannya dua kali. Dia bukan warga Israel. dan sedang bersembunyi,” kata Steve Klein, seorang anggota kumpulan Kristian anti–Islam yang mengaku membantu pembuatan filem itu.
Menurutnya, pembikinan filem itu dibantu oleh bangsa Arab yang berhijrah ke AS, termasuk dua kumpulan dikenali sebagai anti-Islam.
Pastor kontroversi dari Florida, yang pernah mencetuskan rusuhan pada 2010 kerana membakar kitab suci al-Quran, Terry Jones, mengatakan dia pernah dihubungi untuk menyebarkan filem itu.
“Orang yang turut serta dalam pembikinan filem itu adalah mereka yang melarikan diri dari negaranya. Tiada yang istimewa dengan krew penerbitan itu. Mereka adalah warga AS berasal dari Syria, Turki, Pakistan dan beberapa lagi dari Mesir. Antaranya penganut Kristian Koptik dan umumnya adalah Evangelis,” kata Klein.
Menurutnya, dia berjanji membantu Bacile menerbitkan filem itu, tetapi memberi amaran kepadanya dengan berkata: “Awak bakal menjadi Theo van Gogh yang seterusnya”.
Van Gogh merupakan seorang pengarah Belanda yang dibunuh ekstremis Islam pada 2004, selepas menerbitkan filem yang mencemar kesucian Islam sehingga membangkitkan kemarahan umat Islam dunia.
“Saya sudah jangkakan perkara seperti ini akan berlaku,” kata Klein.
Filem itu dihasilkan selama tiga bulan tahu lalu, melibatkan 59 pelakon dan 45 krew produksi.
Filem tersebut pertama kali muncul di Mesir. Individu menyebarkan filem itu di Mesir adalah Morris Sadek, Ketua Dewan Nasional Koptik AS, kumpulan Kristian Mesir yang berpusat di AS termasuk mengaku sebarkan filem itu di negara asalnya.
Bercakap kepada pemberita di lokasi rahsia, Bacile tanpa berselindung menyatakan, filem itu dibikin dengan tujuan mengutuk Islam.
“Filem itu menelan belanja A$5 juta (RM15.3 juta), dana diperoleh daripada 100 kumpulan Yahudi di AS. Kerajaan AS banyak duit, sebab itu hantar orang berperang di Iraq dan Afghanistan tetapi saya berperang dengan idea,” katanya.
Walaupun Bacile berasa kesal dengan insiden kematian duta negara itu dia menyalahkan pihak kedutaan di Libya yang tidak mengetatkan kawalan keselamatan.
Bacile kini, sukar ditemui. Dia dipercayai bersembunyi setelah menyedari tindak balas yang semakin merebak di seluruh dunia turut mengancam nyawanya, sebagaimana yang pernah dilalui penulis kontroversi India, Salman Rushdie, 20 tahun.
Berbanding Rushdie yang jelas identitinya, siapakah Bacile yang sebenar masih menjadi rahsia.