Pasangan diraja Britain Putera William dan Kate Middleton mengakhiri lawatan mereka ke negara ini dengan menikmati keindahan kawasan hutan hujan tropika yang terpelihara baik di Malaysia.
Duke dan Duchess of Cambridge meluangkan masa kira-kira tiga jam melawat Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, bercakap dengan 25 penyelidik dan penuntut Universiti Oxford serta duduk di atas dahan pokok setinggi kira-kira 50 meter, selain diberi taklimat berkaitan semut dan hidupan lain di atas pokok dalam kawasan pemuliharaan seluas 43,800 hektar itu.
Pasangan itu diterbangkan ke kawasan berkenaan oleh helikopter lapan tempat duduk syarikat penerbangan Sabah Air pada 10.15 pagi.
Mereka kemudian mendengar taklimat Ketua Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Yayasan Sabah Dr Waidi Sinun, Pengarah Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP) Royal Society Dr Glen Reynolds, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Tengku D Z Adlin serta Pengarah Jabatan Perhutan Sabah Datuk Sam Mannan berkaitan kerja pemuliharaan bersama Yayasan Sabah dan SEARRP.
William menjadi Felo Diraja sempena sambutan ulang tahun ke-350 Royal Society pada 2010.
Pasangan itu menunjukkan minat mendalam dalam kemajuan kerja pemuliharaan dan haiwan liar di kawasan tersebut seperti Orang Utan serta monyet Proboscis.
Selepas mendengar taklimat selama setengah jam, Putera William dan Kate meredah hutan hujan tropika itu bagi merasai sendiri biodiversiti luar biasa yang terdapat di kawasan tersebut.
Waidi menyifatkan kunjungan pasangan diraja itu sebagai ‘berjaya dan bermanfaat’.
“Duke of Cambridge ada berkata ayahanda baginda (Putera Charles) sememangnya menyukai hutan hujan tropika. Bagi saya, kunjungan ini berjaya dan bermanfaat kerana ia bakal meletakkan Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Ia benar-benar merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha bersama Yayasan Sabah dan the Royal Society, terutama bagi kerja pemuliharaan yang kami lakukan.
Selepas meluangkan masa di Lembah Danum, pasangan itu turut berpeluang merasai pengalaman berjalan di jambatan atas pokok sepanjang 300 meter, sebelum berehat untuk makan tengah hari di Borneo Rainforest Lodge.
Duke dan Duchess of Cambridge kemudian berlepas dengan pesawat komersial ke Kota Kinabalu.
Malaysia merupakan destinasi kedua pasangan itu selepas Singapura dalam siri lawatan sembilan hari mereka ke timur jauh sebagai wakil Ratu Elizabeth II sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan baginda di England.
Pasangan itu dijadual melawat Kepulauan Solomon dan Tuvalu selepas ini.