Pilihan raya serentak, negeri dan parlimen, dapat menjimatkan banyak wang pembayar cukai, kata pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh.
“Pada pandangan saya, pilihan raya harus diadakan pada penghujung penggal lima tahun,” kata beliau.
Karpal Singh mengulas mengenai pilihan raya bagi dewan undangan negeri Selangor yang dicadangkan diadakan berasingan dari pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor tidak dapat mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya kebangsaan kerana menurutnya Suruhanjaya Pilihanraya (EC) belum membersihkan daftar pemilih bagi Selangor.
Karpal Singh berkata rakyat mengundi kerajaan untuk tempoh lima tahun, oleh itu ekspektasi itu perlu dipenuhi.
“Memang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengambil alih kedudukan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib mahukan mandat baru rakyat, tetapi itu boleh dilakukan dengan memenuhi penggal lima tahun,” kata Karpal Singh.
Najib mempunyai masa hingga 28 April tahun depan untuk membubar parlimen dan mengadakan pilihan raya. Jika tidak parlimen akan bubar dengan sendirinya pada 29 April dan EC wajib menetapkan tarikh pilihan raya dalam tempoh dua bulan selepas itu.