Menarik sekali apabila membaca wawancara seorang penulis, Eddie Barnes dengan Anwar Ibrahim di laman The Scotsman di bawah tajuk “Eddie Barnes: Tough challenge to heal the divides in Malaysia” atau “Cabaran Berat Dalam Menangani Perpecahan di Malaysia” (http://www.scotsman.com/news/eddie-barnes-tough-challenge-to-heal-the-divides-in-malaysia-1-2543263)
Wawancara tersebut telah menjelaskan kemusykilan ramai kenapa Anwar tidak berusaha untuk turut sama berdemonstrasi menentang filem Innocence of Muslims yang menghina Rasulullah SAW sedangkan Anwar yang kita kenali, amat sinonim dengan demonstrasi. Malah, tidak salah jika beliau digelar ‘Bapa Demonstrasi’ kerana ‘kewujudan’ dan ‘kesinambungan hidup’ beliau di dalam dunia politik adalah bertitik tolak dari demonstrasi demi demonstrasi sejak dari awal lagi iaitu pada tahun 1970-an ketika beliau masih seorang pelajar.
Tetapi, Anwar tidak ingin pun untuk berdemonstrasi jauh sekali menjuarai bantahan terhadap filem yang menghina Rasulullah SAW tersebut. Kini jelas bahawa Anwar sebenarnya berkongsi pendapat dengan Ngeh Koo Ham, iaitu umat Islam terlalu emosional dan mudah marah tanpa asas yang kukuh yakni, demonstrasi tersebut adalah membuang masa dan tenaga.
Ini terbukti dalam jawapan Anwar ketika ditanya mengenainya oleh Barnes, “problem with the Muslim psyche… people are easily enraged and emotional”. (Masalah dengan psikologi Umat Islam ialah mereka mudah marah dan emosi)
Beliau kemudiannya menambah, “The hypocrisy of these fellows talking about defending Islam when they are so blatantly corrupt and unjust.” (Hipokritnya mereka ini bila bercakap mengenai membela Islam tetapi bersikap korup dan tidak adil)
Anwar juga enggan dikategorikan sebagai seorang Pemimpin Islam tetapi menggambarkan dirinya sebagai ‘moden tradisional’. Untuk itu, Barnes juga tidak lupa menyebut mengenai sokongan Anwar terhadap karya Salman Rushdie, The Satanic Verses yang juga menghina Islam dan Rasulullah SAW. Untuk rekod, Anwar telah menyatakan sokongan ini secara terbuka dalam ucapannya di Indonesia yang menimbulkan kontroversi di kalangan umat Islam.
Apabila ditanya mengenai pertelingkahan antara DAP dan PAS mengenai hudud, Anwar juga mengakui bahawa keadaan adalah lebih baik ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri di mana semua orang hanya akan berkata, ‘ya, tuan’ tetapi kini, semua orang berhak memberikan pendapat tetapi sebagai seorang ‘demokrat’, Anwar menegaskan bahawa ‘anda berhak memberi pendapat tetapi tidak boleh memberi arahan kepadanya’.
Nah, itulah Anwar Ibrahim, iaitu seorang yang menyokong karya yang menghina Rasulullah SAW sebagai karya agung, serta seorang diktator secara ‘halus’. Namun, sejauh mana Anwar boleh mengarah DAP, tidak dapat dipastikan. Apatah lagi dengan segala rahsia gelapnya berada di dalam tangan Karpal Singh, dan sudah pasti juga Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Yang menjadi perkara pokok di sini ialah pentingnya bagi rakyat Malaysia untuk mengenali Anwar Ibrahim yang sebenar kerana beliau begitu terkenal dengan sikap sesumpahnya yang sering berubah-ubah mengikut audien. Ini diakui sendiri oleh beberapa media asing yang mula musykil dengan pendiriannya.
Di Malaysia, masih ramai pengikutnya yang masih menganggap beliau sebagai seorang pemimpin Islam yang warak kerana gemar ‘menceroboh’ masjid untuk menyampaikan khutbah.
Pun begitu, di kalangan golongan liberal serta di barat, Anwar menonjolkan dirinya sebagai seorang yang liberal juga dengan menunjukkan simpati kepada golongan LGBT dan mengutuk undang-undang yang mengharamkan homoseksual.
Di masa yang sama, di hadapan kaum Cina dan India beliau secara nyata mengkritik Hak Istimewa Melayu dan ini juga ada disebutnya di dalam wawancara tersebut. Tetapi di hadapan masyarakat Melayu beliau bertegas akan tetap mempertahankan Hak Istimewa Melayu.
Di hadapan Yahudi, beliau sanggup mengumumkan akan sentiasa menyokong usaha melindungi Negara Israel tetapi kemudian mengecam Yahudi di hadapan umat Islam. Bagaimanapun, tindakan beliau bergegas memohon ampun dan maaf dari Yahudi dalam apa yang disebut oleh media barat sebagai ‘apology tour’ menyerlahkan pendiriannya yang sebenar iaitu ‘mesra Zionis’. Apatah lagi apabila beliau gagal melakukan ‘apology tour’ yang serupa terhadap negara Islam apabila mengaku menyokong Negara Israel.
Oleh itu, jika masih ada yang keliru mengenai siapakah Anwar yang sebenar, maka wawancara dengan Barnes ini seharusnya sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya.
Jika Anwar berdolak dalih mengenai perkara lain, tetapi nampaknya, Anwar langsung tidak berdolak dalih mengenai pendiriannya terhadap isu menghina Rasulullah SAW. Beliau begitu konsisten dengan tidak mengutuk the Satanic Verses dan tidak juga mengutuk filem Innocence of Muslims.
Justeru, apa yang diharapkan dari seorang pemimpin Islam yang menganggap bantahan aman terhadap filem biadap yang menghina Rasulullah sebagai reaksi berlebihan dan hipokrasi? Apakah yang diharapkan dari seorang pemimpin Islam yang rela berdemonstrasi dan untuk perkara-perkara yang bukan isu, termasuk untuk melepaskan diri sendiri dari undang-undang tetapi enggan berdemonstrasi untuk membela Rasulullah SAW?
Apa yang diharapkan dari seorang pemimpin Islam yang sanggup menyanjung karya yang menghina Islam dan Rasulullah SAW?
Dengan perkembangan terbaru ini, apakah masih ada penyokong Anwar yang percaya bahawa Anwar itu seorang yang warak dan tidak akan membawa Malaysia ke arah liberalisasi dan pluralisme?