KOTA TINGGI — Seorang guru tadika terbunuh apabila jip yang dipandunya berlanggar dengan sebuah treler di Km31.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berhampiran Bandar Penawar di sini Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi berkata kenderaan yang dipandu Norazila Ahmad, 29, dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah hari.
“Jenazah mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di perkuburan Islam Felda Sungai Mas malam ini,” katanya.
Norazila yang juga seorang anggota Rela merancang bertunang dengan teman lelakinya dan menunaikan umrah selepas Hari Raya Aidiladha nanti.
Teman lelakinya itu, Zainuddin Manap, 30, berkata segala persiapan majlis pertunangan sudah dibuat dan urusan membuat passport antarabangsa untuk menunaikan umrah juga telah siap.