SHAH ALAM – Datuk Seri Noh Omar menyifatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai anak Selangor yang sangat berdosa dan tidak boleh diampunkan atas alasan menghalang pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah, Hulu Selangor.
“Kita semua tahu, UiTM ini untuk siapa?
“Kita nak masukkan 200,000 pelajar, itu merupakan satu usul yang dibuat oleh Umno empat tahun lepas seperti yang dijanjikan oleh (Presiden Umno) Datuk Seri Najib Razak yang mahu memberikan peluang kepada 200,000 anak-anak kita belajar di UiTM,” kata Timbalan Pengerusi Umno Selangor ini.
Katanya, “sebab itu UiTM begitu banyak dibuat di setiap negeri.”
“Negeri Selangor, sebuah negeri maju, belum ada lagi cawangan UiTM, yang ada di Shah Alam dan di Puncak Alam, itu kampus induk.
“Sebab tu kita belanjakan RM400 juta, buat UiTM di Serendah, di tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), kalau nak harap tanah kerajaan negeri, jangan harap dapat,” kata beliau kepada jentera Barisan Nasional (BN) Ampang pada Majlis Forum Isu Air di Ampang, malam tadi.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, usaha kerajaan untuk membina UiTM di tanah YBK dihalang dan akhirnya Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang untung kerana projek UiTM itu terpaksa dipindahkan ke Jasin.
“Tambah satu lagi UiTM di Melaka. Siapa yang rugi? Orang Selangor yang rugi, anak-anak kita yang rugi. Jika dibuat di sini, ia akan memberi peluang untuk anak-anak kita masuk di UiTM.
“Nak tolak takpelah, tapi janganlah jadi penyamun. Dah tolak macam samseng, jadi penyamun pula, dia rampas tanah YBK walaupun YBK nak bayar premium tanah, dia tolak.
“Tapi alhamdulillah, berkat doa orang-orang miskin di Selangor, baru-baru ini mahkamah beritahu rompakan tanah, rampasan tanah YBK oleh kerajaan negeri tidak mengikut undang-undang dan kerajaan negeri kena pulangkan tanah tersebut kepada YBK,” tambah beliau.
Kerajaan Negeri Selangor dilaporkan akan membuat rayuan.