GEORGE TOWN: Seorang kerani akaun maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas merempuh tembok dan terjunam ke dalam laut di Km7.9 Jambatan Pulau Pinang menghala ke George Town, awal pagi ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata, Tan Lean Loon, 24, dipercayai mati akibat lemas dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu.
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa dijalankan selepas Bahagian Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 3.40 pagi.
Katanya, Unit Tindakan Cepat Trafik yang dihantar ke tempat kejadian mendapati sebatang tiang lampu di tempat kejadian patah dan terdapat sebuah tayar kenderaan di atas jalan.
“Operasi mencari dan menyelamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), bomba dan polis marin dijalankan sehingga pukul 6.50 pagi. Operasi yang disambung semula pada pukul 9 pagi menemui sebuah kereta di dasar laut di kilometer 8 oleh unit scuba polis marin setengah jam kemudian,” katanya pada sidang media di sini.
Abd Rahim berkata, mayat mangsa ditemui di tempat duduk pemandu dalam keadaan masih bertali pinggang keledar dan kerja-kerja mengangkat kereta dan mangsa berakhir pada pukul 12.15 tengah hari.
Katanya, mayat Tan yang berasal dari Ayer Itam itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata pemandu kereta yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, awal pagi 28 Oktober lepas dipercayai adalah warga Indonesia yang menggunakan kad pengenalan warga tempatan.
“Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan,” katanya dan menurutnya polis juga sedang menunggu untuk mengambil keterangan daripada seorang lagi mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang untuk mengetahui identiti sebenar kesemua mangsa.
Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan seorang lelaki Sadisafizan Saad, 36, di Kampung Selayang Baru, Selangor terkejut selepas dilaporkan terbunuh bersama dua yang lain dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, pada awal pagi 28 Oktober lepas.
Beliau mendakwa kekeliruan identiti si mati yang menggunakan namanya berlaku mungkin ada kaitan dengan kehilangan kad pengenalannya pada 28 September tahun lepas.
Dalam kemalangan itu, pemandu yang menggunakan nama Sadisafizan bersama rakannya, Muslim Idwar, 38, dari Batu 6, Gombak, Kuala Lumpur dan seorang wanita Indonesia Mai Linda, 18, terbunuh selepas kereta jenis Proton Perdana yang dipandu laju terbabas melanggar tembok Jambatan Pulau Pinang.
+++++