KUALA SELANGOR: Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga tampil untuk membantu mengenal pasti mayat seorang wanita yang ditemui tersangkut di bawah jambatan Sungai Tambahan, Bestari Jaya di sini, Isnin lepas.
Mayat wanita itu ditemui dalam keadaan hampir reput dengan rambutnya tertanggal daripada kepala dan kulit tangan termasuk bahagian ibu jari turut tertanggal.
Keadaan mayat itu menyebabkan identiti mangsa yang dipercayai rakyat tempatan itu tidak dapat dikenal pasti, kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Mohd Taib Ahmad.
Beliau berkata mayat berukuran 152 sentimeter itu memakai dua kemeja-T bertulis ‘Nine of Rock’ dan ‘Koko Krunch’ tanpa pakaian dalam serta tidak berseluar.
Kedua-dua telinga mangsa mempunyai dua lubang tindikan, terdapat tahi lalat di hidung dan gigi tengah bahagian depan baharu dicabut dalam tempoh kurang tiga bulan, katanya.
Mohd Taib berkata mayat yang ditemui hasil maklumat orang awam itu dipercayai terapung selama seminggu dan hanyut dari perairan Sungai Tengi ke Sungai Selangor sebelum dijumpai di Sungai Tambahan.
Punca kematian juga tidak dapat dipastikan berikutan keadaan tisu mayat yang telah reput akibat terendam terlalu lama, katanya.
Beliau berkata mayat itu kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh dan orang ramai yang kehilangan anggota keluarga, rakan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Balai Polis Bestari Jaya Sub Insp Ali Puspalingham di talian 012-6997425 atau 03-32719222 atau balai polis berhampiran.