Watak peniaga karpet yang kaya raya bernama Deepak Jaikishan a/l Jaikishan Rewachand muncul sekali dengan berita gempar mengenai kes penjualan tanah membabitkan Ketua Wanita UMNO Selangor, Senator Raja Ropiah Raja Abdullah menjelang Perhimpunan Agung UMNO ke 66 baru-baru ini.
Secara ringkas peniaga bujang berusia 40 tahun itu mendakwa beliau bersetuju untuk membeli tiga bidang tanah pada tahun 2007 dengan nilai RM13 juta dengan jaminan bank RM72 juta untuk bon tanah dari Raja Ropiah, yang telah dianugerahkan perjanjian penswastaan RM100 juta untuk pembangunan sebuah pusat penyelidikan pertahanan yang dipanggil Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).
Tuntutan yang dibuat oleh Deepak adalah berbentuk kes sivil dan biarlah pihak mahkamah menetapkan keadilan bagi pihak yang terbabit.
Biarlah mereka berdua sahaja menyelesaikan perbalahan urusan perniagaan yang dimeterai tanpa mengheret mana-mana pihak yang langsung tidak kena mengena dengan hal tersebut atau mensabitkan dengan lain-lain perkara yang tidak berkaitan.
Bagaimanapun yang menjadi pelik lagi ganjil mengapakah peniaga berbangsa India itu membuat kenyataan media berhubung perkara tersebut sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO bermula?
Tidakkah itu satu perkara yang bakal mengundang persoalan tentang motif dan niat tersiratnya?
Bak kata pepatah masakan pokok bergoyang jika tidakdaa angin atau lebih mudah difahami, ada tangan yang menggoyangkannya.
Siapa sebenarnya karektor yang bernama Deepak ini dan apakah wataknya dalam permainan wayang politik pembangkang?
Beliau mendakwa mengenali isteri Perdana Menteri, sekitar tahun 2004 apabila Datin Seri Rosmah Mansor berkunjung ke kedainya untuk membeli karpet.
Ada juga yang mengatakan Deepak tidak mengenali Datin Seri Rosmah secara langsung tetapi telah diperkenalkan oleh salah seorang kenalan rapat beliau iaitu Mumtaz Jaafar.
Manapun versi yang hendak diyakini, yang penting ialah Deepak telah menggunakan peluang dan ruang berkenalan dengan isteri pemimpin tertinggi negara untuk kepentingan perniagaan dan peribadinya.
Beliau sering menggunakan kaedah ‘name dropping’ atau berlakon mengenali rapat seseorang yang berpengaruh untuk bermegahan atau mencari peluang perniagaan.
Malah melalui persahabatannya dengan Datin Seri Rosmah, Deepak diperkenalkan pula dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mungkin inilah yang dibayangkan sebagai kemuncak kariernya daripada seorang peniaga karpet di Jalan Tuanku Abdul Rahman kepada menjadi jutawan hasil persahabatan dengan isteri Perdana Menteri dan Perdana Menteri?
Tidak semua rakyat Malaysia mendapat peluang keemasan sebegini tetapi Deepak mampu mencapainya.
Begitulah yang terjadi seterusnya apabila Deepak mengeksploitasi sepenuhnya hubungannya dengan Seri Perdana.
Beliau dikatakan sering menggunakan nama Datin Seri Rosmah malah Perdana Menteri untuk melobi kontrak-kontrak kerajaan sehingga dikatakan berjaya membekal karpet kepada Seri Perdana, Seri Satria dan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya.
Perniagaannya berkembang sehingga mampu memiliki sebuah kilang karpet yang besar berharga jutaan ringgit di Jalan Chan Sow Lin dan meluaskan aktiviti perniagaan dalam bidang hartanah, pembinaan, pembekalan dan sebagainya.
Begitulah liciknya watak ini yang tahu bagaimana memanipulasi Perdana Menteri dan isterinya untuk kepentingan peribadi menjadi beliau seorang jutawan dalam tempoh yang singkat.
Apabila Perdana Menteri dan isteri mendapat tahu bahawa si Deepak ini telah menjaja nama baik secara senyap-senyap tanpa pengetahuan mereka, hubungan yang sedia terjalin dengan baik diputuskan segera untuk mengelakkan daripada terus dipergunakan.
Keputusan yang diambil Datin Seri Rosmah dan Datuk Seri Najib adalah amat tepat sekali bagi menyelamatkan nama baik mereka.
Deepak menggelupur kepanasan dan panik kerana baginya Datin Seri Rosmah dan suami dianggap penyelamat atau ‘saviour’ untuk menimbun harta selama ini.
Kebetulan pula beliau mengambil pinjaman bank untuk membesarkan empayar perniagaannya hasil exploitasi nama Perdana Menteri dan isteri.
Saluran komunikasi dengan Datin Seri Rosmah yang tidak lagi dinikmati oleh Deepak bermakna peluang beliau untuk terus bernaung di bawah individu yang berpengaruh sudah tertutup.
Kini Kuwait Finance House telah menyamannya sebanyak RM170 juta di atas hutang yang masih belum dilangsai Deepak.
Dengarnya Maybank juga turut menghambatnya untuk jumlah hutang sebanyak RM30 juta lagi.
Hidup Deepak sudah tidak keruan, ke mana lagi beliau ingin mengadu nasib dan membela hutang piutangnya yang semakin menimbun.
Pada masa yang sama Anwar Ibrahim yang terkenal dengan parasit yang akan menghinggap kepada mana-mana individu yang bermasalah apatah lagi jika hutang sudah mengelilingi pinggang mula mengatur langkah untuk menjerat Deepak.
Dua tahun lamanya Anwar menggenen Deepak untuk masuk perangkap yang telah disediakan.
Kali ini nampaknya mangsa yang sudah terhimpit dengan krisis kewangan yang kronik tidak mempunyai pilihan lain.
Pertemuan diatur untuk bertemu anak Ketua Pembangkang, Nurul Izzah dahulu tapi Deepak pada saat-saat akhir kecut perut dan membatalkan temujanji.
Anwar masih tidak mahu mengaku kalah, tropi yang amat bernilai ini mesti dimilikinya dengan apa jua cara pun, ‘by hook or by crook’.
Akhirnya dengan perantaraan seorang kroni rapat Anwar sejak zaman beliau menjadi Menteri Kewangan lagi, Dato’ Ravi Dharan, Deepak berjaya diyakinkan untuk bertemu Ketua Umum PKR itu.
Bukan sekali, tetapi beberapa pertemuan telah berlaku antara Deepak dan Anwar, namun seperti yang dijangkakan siapa akan mengaku berak di tengah jalan?
Seperti situasi membuat janji dengan Sang Syaitan terlaknat, Anwar menjanjikan Deepak untuk menyelesaikan masalah beban hutangnya yang sehingga kini telah mengusutkan fikirannya siang dan malam.
Syarat yang diletakkan oleh Anwar mudah saja – Deepak perlu menurut skrip yang disediakan oleh pembangkang untuk mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dengan pembunuhan wanita Monggolia, Alantuya Shaariibuu.
Itu saja yang perlu dilakukan oleh Deepak untuk membebaskan dirinya daripada buruan bank yang benar-benar menghantui hidupnya.
Walaupun terpaksa mengkhianati persahabatannya dengan isteri Perdana Menteri yang terjalin pada satu ketika itu, namun ini semuanya tidak bermakna kepada Deepak kerana wala’nya adalah kepada wang ringgit.
Beliau akan sanggup melakukan apa sahaja demi wang hatta menikam sahabat yang banyak membantunya mendaki tangga kejayaan dalam perniagaan.
Kini Deepak menjadi ayam sabung Anwar yang akan dilepaskan ke dalam gelanggang untuk bertarung politik bagi pihak Ketua Pembangkang itu.
Hidup mati Deepak sekarang di dalam tangan Anwar, di panggil mari dihalau pergi – begitulah penghujung nasib seorang individu yang rela menggadaikan nilai kemanusiaan dan prinsip hidup demi sesuap rezeki.