Malaysia kaya dengan pelbagai buah tropika seperti durian, manggis, rambutan serta duku dan langsat.
Bagaimanapun bagi sesetengah anggota masyarakat, memakan buah-buahan ini boleh menyebabkan mereka tidak sihat.
Adakah ini satu metos?
Sesetengah juga beranggapan bahawa buah import seperti epal dan anggur adalah lebih berkhasiat berbanding buah-buahan tempatan (bermusim).
Pelbagai persepsi negatif menjalar dan dilemparkan terhadap buah-buahan bermusim hingga menarik perhatian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk menjelaskannya.
BERMUSIM
“Tidak, saya tidak percaya buah bermusim seperti durian, manggis, rambutan boleh menyebabkan seseorang itu demam atau membawa kepada penyakit. Sebenarnya, buah-buahan kita unik, sedap dan kaya dengan khasiat.
“Tetapi, amat menyedihkan apabila ada segelintir pihak terlalu mengagungkan buah import kerana merasakannya lebih bagus, ini silap sama sekali,” kata Timbalan Pengarah Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr Zabedah Mahmood di Serdang, dekat sini baru-baru ini.
Senario merasakan buah-buahan import lebih bagus mungkin disebabkan oleh kurangnya promosi akan khasiat yang terselindung di sebalik buah-buahan bermusim.
Walhal, ia sebenarnya berkapasiti tinggi membekalkan nutrien diperlukan badan.
Atas sebab itulah, pemupukan amalan memakan durian, manggis, rambutan, duku yakni antara sebilangan jenis buah-buahan bermusim ini haruslah dirancak dan digalakkan dengan lebih aktif lagi.
Tambahan pula, harganya lebih murah berbanding yang diimport serta kandungan vitamin, khasiatnya tidak tergugat serta masih ‘terpelihara’ ekoran boleh mendapatinya, membelinya dalam keadaan segar.
KHASIAT
Dr Zabedah berkata, berbanding buah import seperti epal, anggur, kualiti kandungan vitamin, khasiatnya mungkin sudah berkurangan kerana terperuk dalam kotak penyimpanan agak lama serta melalui masa perjalanan agak panjang untuk sampai ke negara ini.
Ini menjadikan buah-buahan tempatan kaya dengan vitamin berbanding buah-buanan yang diimport.
Contohnya, kandungan vitamin C adalah lebih tinggi dalam sebiji buah rambutan jika dibanding dengan epal.
Menurut Zabedah, kandungan vitamin C pada rambutan dan pulasan adalah 70mg/100g berbanding epal hanyalah sekitar 6mg/100g. Sangat rendah, walhal vitamin C amat penting dalam kehidupan kita.
Antaranya, meningkatkan sistem imuniti badan serta melindungi daripada jangkitan penyakit dan selesema.
“Kedua-dua rambutan dan pulasan mempunyai kandungan air yang tinggi, iaitu melebihi 80 peratus. Kandungan proteinnya di sekitar 0.5 peratus-0.8 peratus dan kandungan lemaknya pula adalah agak rendah, iaitu 0.3 peratus-0.55 peratus,” katanya kepada Bernama.
DURIAN
Khasiat buah-buahan bermusim bukan hanya tertumpu pada rambutan tetapi juga meliputi durian, yakni raja buah yang sentiasa dikaitkan sebagai punca demam panas.
Agak pelik bunyinya, namun pemakanan durian juga sebenarnya elok diamalkan kerana mengandungi potasium yang dikatakan baik untuk kesihatan jantung. Mengandungi 1,060mg potassium, durian juga membekalkan sumber vitamin C, tenaga dan mineral.
Isinya yang lembut, enak dan kekuningan itu bukan sekadar menjanjikan kesedapan tidak terhingga bagi pencinta durian, malah ia juga kaya dengan fiber, baik untuk proses penghadaman dan sembelit.
MANGGIS
Paling menarik adalah buah manggis. Menurut Zabedah, buah berbentuk bulat dan berwarna ungu kehitaman itu mempunyai nilai tinggi dari sudut pengkomersilan produk kesihatan.
Bukan sahaja isinya yang putih gebu mengandungi khasiat tinggi, tetapi kulitnya juga menjadi tumpuan untuk dibekalkan sebagai produk kesihatan.
“Sebenarnya, kulit manggis bukan lagi bahan buangan. Ini kerana, terdapat syarikat yang membeli kulit manggis sahaja di Mardi untuk diproses dan dijadikan produk kesihatan.
“Berbanding buah lain, manggis antara buah paling susah hendak dilihat di pasaran kerana sudah ada syarikat beli terus kesemua buah di dusun. Disebabkan itulah, harga manggis agak mahal kerana penawarannya tidak banyak,” katanya.
Menurut Dr David A Morton dari University of Utah, Amerika Syarikat, kulit buah manggis mempunyai bahan aktif biologi yang sangat kaya dengan antioksidan dan dipercayai berkesan untuk mencegah penyakit.
Dipercayai buah manggis berpotensi untuk mencegah batu karang, kanser, membuang kalesterol dalam badan dan mengimbangi seluruh badan.
CARA ANDA MAKAN, SALAH!
Akan tetapi, mengapa ada yang demam, batuk berpanjangan selepas menikmati buah-buahan bermusim? Ia seolah-olah tidak selari dengan kajian yang merungkai kepada kekayaan khasiat buah-buahan tersebut.
Mengulas lebih lanjut, kata Zabedah semuanya berkisar kepada cara pemakanan masyarakat. Sambil menegur sikap sesetengah orang yang membeli dan memakan buah durian, rambutan dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa, Zabedah memberitahu gaya pemakanan sedemikianlah mendedahkan mereka kepada penyakit.
“Buah-buahan tempatan tidak mendatangkan penyakit, tetapi bergantung kepada cara kita makan. Kita dinasihatkan untuk memakannya dalam kuantiti sederhana, sekadar untuk mendapatkan khasiat di samping menikmatinya.
“Contoh, macam hari ini beli sedikit lusa beli lagi,” katanya.
Sambil memberi tips cara pemakanan durian, beliau berkata adalah sebaiknya air kosong diambil secukupnya selepas menikmati raja buah itu, jangan makan ketika perut kosong, masa hendak tidur dan elakkan minum air berkarbonat.
PANAS
Tidak menafikan bahawa menikmati durian boleh mengundang rasa ‘panas badan’, justeru dinasihatkan agar ia disusuli dengan pemakanan manggis kerana buah itu boleh menyejukkan badan.
Maka, tidak hairanlah apabila buah manggis dikenali sebagai ratu segala buah kerana berpotensi meneutralkan suhu badan sekali gus berpadanan dengan status durian iaitu raja buah.
Bagi buah rambutan pula, Zabedah berkata masih ramai khususnya generasi muda tidak tahu kulit kayu biji rambutan yang terlekat pada isi buahnya itu tidak boleh dimakan kerana boleh menyebabkan batuk.
Disebabkan itulah, menjadi tugas pembeli untuk memilih kualiti buah rambutan terbaik di mana isinya lekang yang tidak tarik sekali dengan kulit kayu biji. Antara rambutan popular ketika ini adalah jenis anak sekolah di mana buah ini mudah dikopek dan dipisahkan bahagian isi dengan biji.
KEKAYAAN NEGARA TIDAK TERNILAI
Biarpun pelbagai persepsi, hakikatnya buah-buahan bermusim merupakan aset kekayaan negara paling bernilai, berpotensi sebagai tarikan pelancongan dan menjadi antara idaman masyarakat luar.
Di kala pertikaian akan bau tengik buah durian oleh segelintir kita, pelancong China berlainan pula. Bagi mereka, ia adalah sejenis buah yang sangat sedap.
Malah, durian kita yang berkualiti tinggi telah dieskport ke negara panda itu.
“Kita sepatutnya berbangga dan menghargai apa yang kita ada. Macam negara China mereka tidak ada durian dan amat menggemarinya.
“Amalan memakan buah-buahan tempatan haruslah dididik sejak dari kecil. Ia bukanlah sekadar ‘buah’, tetapi senario pemakananannya merupakan budaya masyarakat kita yang perlu dikekalkan,” katanya.