Bayaran semua program bantuan kepada rakyat seperti diumumkan dalam Bajet 2013, akan dilunaskan bermula bulan ini hingga bulan Mac.
Bayaran itu merangkumi BR1M 2.0, bantuan khas awal persekolahan, baucar buku 1 Malaysia dan sumbangan veteran tidak berpencen 1 Malaysia.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata bayaran pertama akan dibuat mulai 15 Januari ini, membabitkan bantuan persekolahan 1 Malaysia bernilai 100 ringgit.
Sejumlah 54 bilion ringgit diperuntukkan bagi tujuan itu untuk diagihkan kepada 5.4 juta pelajar tahun satu hingga tingkatan lima.
Untuk BR1M 2.0 pula, proses sedang dilakukan untuk memberi bantuan itu kepada 4.1 juta keluarga.
Selesai agihan bantuan itu, kerajaan akan menyelesaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia kriteria individu bujang berumur 21 tahun ke atas.
DATUK SERI AHMAD HUSNI HANADZLAH / MENTERI KEWANGAN KEDUA
“Itu untuk yang isi keluarga, untuk yang bujang kita telah terima 1.8 juta. Jadi bagi bujang ini mengikut kita punya analisa bilangannya 2.7 juta ikut analisa kita. Itu sebab kita bagi lagi tempoh untuk membuat permohonan. Kita nak capture semua yang layak mendapat supaya mereka akan membuat”.
Pada bulan Mac, agihan baucer buku 1 Malaysia berjumlah 250 ringgit untuk penuntut institut pengajian tinggi akan diagihkan.
Bagi memastikan semua bayaran itu berjalan lancar, mesyuarat penyelaras membabitkan Kementerian Kewangan dengan semua kementerian berkaitan akan diadakan Selasa ini.