Seorang wanita maut dipercayai digilis pelbagai kenderaan setelah tercampak keluar dari kereta dinaikinya dalam satu kemalangan ngeri di Hulu Selangor pagi tadi.
Rakannya yang parah dan tercampak ke dalam longkang lebuh raya, hanya ditemui kira-kira sejam kemudian.
Kemalangan ngeri ini berlaku kira-kira jam enam pagi tadi di kilometer 415.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh, berhampiran Lembah Beringin.
Kereta Perodua Myvi ini dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi pembahagi lebuh raya.
Akibatnya, kereta dipercayai berpusing beberapa kali menyebabkan kedua-dua pemandu dan penumpang tercampak keluar.
Karti Muniady, maut di tempat kejadian.
Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Manakala rakannya yang juga pemandu kenderaan terbabit tercampak lebih 10 meter ke arah tebing lebuh raya dan terjatuh ke dalam longkang.
Orang ramai hanya menyedari keadaannya, apabila mangsa merangkak mendapatkan pertolongan.
Mereka difahamkan dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju Kulim, Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan.