Semak sekarang dan buat bantahan sekiranya ada. Jangan setelah diwartakan baru timbul pelbagai cerita
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan Rang Daftar Pemilihan Tambahan (Rang DPT) bagi Suku Tahun 4/2012 di 949 lokasi seluruh negara selama 14 hari bermula hari ini (Khamis).
Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam kenyataan pada Khamis berkata, Rang DPT itu melibatkan urusan permohonan pendaftaran sebagai pemilih bagi Oktober, November dan Disember tahun lepas.
“SPR telah menerima sebanyak 295,122 pemohonan pendaftaran sebagai pemilih yang terdiri daripada 243,751 pemilih baru dan 51,371 pemohonan pertukaran alamat pusat mengundi pemilih yang telah berdaftar dengan SPR.
“Pemohon dinasihatkan menyemak Rang DPT itu. Bagi permohonan pendaftaran baru jika pemohon mendapati namanya tidak tersenarai, bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan diserah kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran berkenaan,” katanya.
Sabri berkata, pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang DPT itu boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
Seseorang boleh membantah terhadap tidak lebih 20 orang selaras subperaturan 15(3) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih)(Pindaan) 2012 dandikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran berkenaan.
“Sepanjang tempoh pameran, SPR juga akan mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.
“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan ialah kerana mereka didapati meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera atau Polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai pemilih pos dan sebagainya,” kata Sabri.
Pameran Rang DPT itu akan dipamerkan antaranya di pejabat pilihan raya negeri, pejabat pos berkomputer, kompleks/pejabat kerajaan, Pejabat Daerah/Pejabat Tanah dan Majlis Daerah/Perbandaran.
Bagi sebarang pertanyaan mengenai Rang DPT itu, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-88856565 atau faks 03-88889117 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my untuk menyemak Rang DPT.