ISTILAH psyche diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (rujukan dalam talian) sebagai membawa maksud ‘jiwa’. Salah seorang ahli politik yang mempunyai jalur psyche yang sangat berwarna-warni ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Semenjak menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau gemar sekali mengaitkan bagaimana Pulau Pinang akan ditadbir dengan tiga asas penjanaan polisi dan pentadbiran, iaitu dengan menggunakan konsep ‘CAT’ – cekap, akauntabiliti dan telus.
Pada mata rakyat mana sekalipun, istilah-istilah yang muluk dan hebat ini memang mudah untuk diperkatakan, namun ia menuntut komitmen pelaksanaan yang berterusan. Itulah yang lebih diinginkan oleh rakyat.
Perbualan penulis dengan ramai rakan di Pulau Pinang, membayangkan bahawa mereka berada di bawah pentadbiran yang tidak mesra rakyat dan mempunyai imej yang sombong dan bongkak.
Adakalanya, psyche seorang yang dianggap pemimpin utama parti DAP itu juga tidak begitu tenang. Khuatir dengan kehadiran ribuan rakyat di jamuan Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang, Ketua Menteri yang pernah mengatakan Pulau Pinang sebagai ‘oasis demokrasi’, mula mengajak rakyat hadir dengan memakai pakaian yang membawa mesej politik.
Inilah petanda bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan ‘jiwa’ pemimpin ini. Ini juga membayangkan psyche konfrontasi sememangnya tersedia ada dalam pemikiran pemimpin tersebut.
Ya, mana sahaja kerajaan di dunia ini perlu menjual ?jenama? mereka sebagai sebuah kerajaan yang kompeten. Kerajaan DAP di Pulau Pinang juga tidak terkecuali. Namun, sebagai rakyat biasa yang melihat politik Pulau Pinang dari jauh, mengikuti perkembangan kepimpinan Guan Eng melalui media sosial – tidak semua dasar yang dikemukakan oleh Guan Eng mencerminkan sebuah kerajaan negeri yang kompeten.
Malahan, jika kita rajin sedikit merujuk kepada paparan-paparan lama yang dikemukakan oleh pemimpin DAP, termasuk Lim Kit Siang sendiri mengakui bahawa orang Melayu sangat terasa bahawa mereka berada di bawah kepimpinan yang tidak mesra semua kaum.
Seperti yang dilaporkan oleh Kit Siang (http://blog.limkitsiang.com/2011/11/17/malays-feel-penang-under-chinese-rule-survey-shows/), melalui kajian yang dilakukan oleh Ilham Centre, secara jelas menunjukkan bahawa majoriti dalam kalangan orang Melayu di Pulau Pinang melihat kepimpinan Guan Eng melalui tingkap perkauman yang nyata. Sudah barang tentu, perkara ini tidak berlaku begitu sahaja. Mungkin ada agaknya ?polisi dan pelaksanaan? dan pentadbiran di Pulau Pinang yang tidak mencerap kepentingan semua kaum dan sebagainya.
Di dalam paparan laman sesawang yang sama, Kit Siang sekali lagi memaparkan kajian Ilham Centre yang merumuskan perkara berikut: ?…Pas under (state chief) Salleh Man is too weak and has failed to make Pas popular and respected whether in terms of welfare, community and sermons. Pas is seen as DAP?s puppets.”
Kit Siang dengan mudahnya menyalahkan proses indoktrinasi pemikiran politik di Pulau Pinang, sekali gus cuba memberikan gambaran bahawa persepsi salah terhadap kepimpinan DAP di negeri tersebut, adalah kerja politik.
Apa yang wajar menjadi persoalan yang lebih penting adalah: Apakah DAP sama sekali sudah gagal membentuk persepsi positif bahawa mereka turut memperjuangkan kepentingan orang Melayu? Apakah DAP berpuas hati dengan peranan feeder yang dimainkan oleh Pas dalam memastikan lambungan sokongan orang Melayu Pulau Pinang berada di tahap yang baik? Apakah pula peranan yang dimainkan satu lagi parti keluarga pembangkang yang sepatutnya membulatkan sokongan orang Melayu di sana?
Di sebalik kononnya penerimaan total masyarakat Cina di Pulau Pinang terhadap Guan Eng, Ketua Menteri tersebut sebenarnya sedang bergelumang dengan pelbagai masalah dan isu lain yang boleh meletakkan dirinya dan parti DAP dalam keadaan yang tidak menentu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Oleh sebab itu juga, isu kehadiran seorang artis Korea Selatan menjadi masalah kepada pentadbiran Guan Eng. Sedangkan, parti yang dinaungi Guan Eng jugalah yang sudah berbelanja besar untuk melakukan ?parodi? artis sama sebagai modal memasuki fasa pilihan raya nanti.
Apakah kehadiran ?Psy? ini yang menjadi masalah kepada Guan Eng – atau psyche dirinya sendiri yang semakin khuatir kehilangan momentum politik? Itu perlu dijawab sendiri oleh DAP dan Guan Eng dalam masa yang terdekat ini.
Dengan diikuti penjelasan bahawa kehadiran Psy adalah tajaan pihak swasta, DAP sudah semakin hilang bahan untuk dijadikan modal politik. Maka, keluarlah kenyataan Ketua Menteri kononnya kehadiran Psy bagus untuk industri pelancongan Pulau Pinang.
Guan Eng pada hakikatnya sedang berhadapan dengan pelbagai persoalan dalam media sosial. Semakin banyak suara yang menginginkan Guan Eng memberi penjelasan mengenai beberapa projek mega yang diumumkan menjelang Tahun Baharu Cina ini.
Sebuah artikel yang agak menarik disiarkan sebuah platform media sosial bertajuk ?Rebuttal against Guan Eng?s RM8b CNY economy stimulus package?, tulisan Ong Eu Soon adalah contoh pandangan balas yang perlu ditangani oleh Guan Eng. Artikel sama turut diguna pakai oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Apakah dengan menamakan beberapa projek besar menjelang Tahun Baharu Cina ini suatu bentuk ?angpau mega? yang mahu Guan Eng jual kepada pengundi di Pulau Pinang? Apa jadi dengan tuduhan kononnya kerajaan cuba membeli undi jika menjanjikan projek dalam masa yang terdekat ini? Di mana agaknya letak perbezaan antara janji Guan Eng; sebagai misal dan perbandingan, dengan janji yang dilakukan oleh Perdana Menteri di Kelantan?
Apakah mungkin kita mendengar kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa Guan Eng juga mengamalkan elemen rasuah. Menurut MB Kelantan itu, sewaktu memberikan pandangan mengenai tujuh projek rakyat yang bakal dilaksana oleh Barisan Nasional Kelantan: ?… janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mengadakan tujuh projek mega di negeri itu, yang diumumkan ketika kunjungannya, umpama rasuah bagi memancing undi rakyat.”
Di mana agaknya beza janji Guan Eng dalam kes ini? Apakah Pas sanggup mengeluarkan ayat bahawa Guan Eng dan DAP Pulau Pinang mengamalkan rasuah politik? Wajar diingat, Perdana Menteri tidak mengaitkannya dengan pilihan raya, sebaliknya Guan Eng secara jelas mengatakan: ?…We will let the people of Penang decide whether they want this project or not,” seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal pro-pembangkang. Pas wajar tidak pilih kasih dalam mengemukakan kenyataan yang sedemikian sifatnya.
Apakah semudah itu Pas memberikan ?sijil politik halal? kepada Guan Eng, sedang Pas heboh mengkritik janji seorang Perdana Menteri yang wajar memberi khidmat bakti kepada rakyat?
?Psyche? politik jualah yang menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut menggunakan kalimah Allah sebagai modal dalam ucapan Hari Natal. Menggunakan logik politik sebuah ?pakatan?, ia tidak sepatutnya ditimbulkan ketika Pas perlu bersikap defensif dan mula main tarik tali dengan dasar dan asas politik parti tersebut. Mujurlah, Majlis Syura Pas membuat keputusan yang tegas – namun begitu masih cuba dicabar oleh pemimpin yang berkongsi ?jiwa? sama seperti Guan Eng.
Isu ini turut menjadi analisis penting dalam kalangan penganalisis politik menjelang PRU akan datang ini. Seorang ahli akademik, Farish A Noor, dalam analisisnya (boleh rujuk: http://www.eurasiareview.com/03022013-malaysias-13th-generalelection-prospects-and-challenges-for-dap-analysis/) turut membayangkan bahawa isu kalimah Allah secara jelas membuktikan hubungan dalam pakatan politik pembangkang boleh sahaja menjadi amat rapuh.
Pada pandangan penulis, ?psyche? pemimpin dan batang tubuh parti DAP amat sukar untuk dijernihkan. Keputusan pilihan raya parti DAP sendiri sudah memberikan gambaran bahawa model politik ?rasis? DAP akan kekal untuk tempoh waktu yang panjang.
Selagi DAP tidak mampu mengubah ?jiwa politik? bahawa mereka perlu lebih terbuka dan mesra semua kaum – DAP akan kekal menjadi parti yang sombong dan tidak mampu menjiwai semangat rentas kaum yang sebenar.
Isu sebenarnya bukan ?Psy? tetapi psyche seorang Ketua Menteri yang khuatir dengan kedudukan politiknya menjelang PRU akan datang. Benar, DAP masih mampu bergerak sendirian dalam mempertahan kemenangan di negeri tersebut – namun ia akan mengesahkan lagi kewujudan elemen kesombongan dan kegemaran mencari kemenangan politik secara solo.
Pulau Pinang pastinya menjadi medan dan pentas menentukan ramuan politik ?pelbagai jiwa? dalam pakatan politik pembangkang untuk berjaya dan berkesan. PRU 2008, Pas bertanding di 2 kawasan Parlimen dan 5 (DUN) di Pulau Pinang. PKR bertanding di 4 kawasan Parlimen dan 16 (DUN).
Jika menurut psyche dan amalan politik Ketua Menteri yang ada; nampaknya semua akan berpusat kepada diri dan partinya sahaja. Jangan sesekali kita lupa, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri pernah memberi gelar negatif kepada ketuanya.
Tidak perlulah agaknya individu yang sudah berada di tahap seorang Ketua Menteri, memberi cadangan kebudak-budakan bagi mensabotaj program orang lain. Demikian juga kenyataan di dalam twitter seorang bergelar ?Speaker Dewan Undangan Negeri?, kononnya lagu Negeri Pulau Pinang akan ditukar hanya kerana lawatan seorang artis dari Korea.
Nampak gaya, psyche dalam kalangan pemimpin DAP ini lebih kurang sahaja tahapnya. Jiwa menentang, mensabotaj dan merendahkan orang lain cukup sebati dalam psikologi politik mereka.
PENULIS ialah pemerhati sosio-politik.