PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan memperbanyakkan lagi bilangan kunjungannya ke beberapa negeri dalam beberapa hari yang akan datang, yang dilihat sebagai “pusingan akhir” sebelum beliau mengumumkan pilihan raya umum yang selama ini begitu dinantikan banyak pihak.
Antara hari ini (Selasa) dan akhir bulan ini, Perdana Menteri akan ke beberapa tempat di seluruh negara hampir setiap hari yang bukan hanya untuk menemui rakyat tetapi juga untuk membuat beberapa penilaian akhir dan menyelesaikan beberapa perkara sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan Parlimen.
Perdana Menteri mempunyai masa sehingga 27 April ini bagi membubarkan Parlimen.
Seorang ahli politik berkata, sementara Najib membuat banyak lawatan ke beberapa negeri sejak tahun lepas, ia dilihat sebagai pusingan akhir bagi beliau sebelum menjelangnya pilihan raya umum.
“Saya berpendapat apa yang dilakukan oleh beliau adalah yang terakhir (lawatan). Lagipun, ia begitu hampir dengan pilihan raya. Najib mahu mendapatkan reaksi dan menyelesaikan isu-isu untuk terakhir kali,” kata ahli politik itu.
Najib akan berada di Johor pada Selasa di mana beliau akan menyertai sambutan Tahun Baru Cina bersama dengan komuniti di Kulaijaya dan turut melancarkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia.
Beliau akan berkunjung ke Sabah pada Rabu bagi lawatan selama dua hari di negeri itu, di mana beliau dijangka akan mengadakan sesi tertutup dengan para pemimpin Barisan Nasional negeri sebelum menghadiri beberapa program di Beaufort, Papar dan Tuaran pada Khamis.
Pada Jumaat, Najib akan berada di Ipoh bagi merasmikan Pusat Transformasi Urban dan akan ke Seri Iskandar selepas solat Jumaat untuk menghadiri sebuah program bertemakan ‘Mengubah Destini Orang Asli’.
Perdana Menteri akan berkunjung ke Majlis Santai Para Pemimpin Malaysia-Singapura di pulau republik itu pada 18 Februari dan beliau dijangka akan singgah di Johor Bahru pada hari berikutnya untuk melihat perkembangan pembangunan di Nusajaya dan Iskandar Malaysia.
Beliau juga akan menghabiskan masa di Sarawak dari 20 Februari sehingga 22 Februari untuk menghadiri beberapa program di Kuching dan Miri, dan kemudiannya ke Terengganu pada 23 Februari untuk lawatan sehari di mana jadual beliau akan melibatkan program Jelajah Janji Ditepati.
Pada 24 Februari, Perdana Menteri akan berada di Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi menghadiri program bertemu rakyat.