KUALA LUMPUR — Manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang dilancarkan Isnin bukanlah satu janji yang menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat, sebaliknya helah untuk meraih populariti di kalangan pengundi, kata beberapa tokoh pemikir.
Mereka berkata pada pilihan raya umum Mac 2008, parti pembangkang menabur pelbagai janji manis untuk meraih sokongan pengundi, bagaimanapun gagal melaksanakan janji populis itu walaupun berjaya menguasai beberapa negeri.
Malah mereka turut menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas kegagalan untuk mengota janji itu, dan kini menjelang pilihan raya umum ke-13, sekali lagi gabungan DAP-PKR-PAS menabur janji manis untuk memancing undi.
Bagi Ahli Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali manifesto PR tidak lebih sekadar menciplak apa yang telah, sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan BN.
Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN itu berkata manifesto itu harus dilihat secara keseluruhan, serta mengambil kira konteks perekonomian untuk memajukan sebuah negara, dan bukan hanya kepentingan seorang individu.
“Memang menjadi matlamat mana-mana kerajaan untuk menjaga kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Bagi saya, manifesto ini tidak ada apa-apa yang menarik dan tiada sebarang kejutan. Ini kerana apa yang diutarakan sebagai teras, sudahpun menjadi agenda utama dalam membantu kesejahteraan dan pembangunan ekonomi kerajaan BN,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi Isnin.
Pakatan pembangkang Isnin melancarkan sepuluh manifesto menjelang PRU-13 antaranya pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga menara gading, kad keahlian DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang boleh diguna pakai di mana-mana plaza tol untuk mendapat tol percuma dan bantuan perniagaan RM10,000 kepada setiap peniaga yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Dr Noor Azlan berkata manifesto seperti menyediakan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat sebenarnya telah dikenal pasti di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan BN sejak tahun 2010, dan kerajaan BN sememangnya sentiasa fokus untuk meningkatkan ekonomi negara serta menjaga kesejahteraan rakyat.
“Manifesto pembangkang ini harus dilihat secara menyeluruh, kolektif dan komprehensif, kerana sehingga hari ini, mereka (pembangkang) tidak menyediakan cara-cara untuk melaksanakan janji-janji itu,” katanya.
Dekan Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Martadar Mohamed berkata manifesto PR itu jelas menunjukkan kelemahan dan ketidakmampuan pembangkang untuk membuat kerja kerana tidak mampu menawarkan kepada rakyat lebih daripada apa yang dilakukan BN.
“Secara keseluruhannya apa yang kita lihat dalam manifesto pakatan rakyat ini kebanyakannya adalah hasil yang dilaksanakan kerajaan dan jika ada yang baharu pun ia sekadar dilihat dari persektif yang sangat kecil,” katanya.
Beliau berkata isu pendidikan yang dibangkitkan pembangkang seperti memartabatkan bahasa Melayu, menjamin hak bahasa ibunda dan mempertingkat bahasa Inggeris telah lama diperjuangkan kerajaan BN.
Sementara itu, pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai menyifatkan cadangan pembangkang menurunkan cukai eksais kereta secara berperingkat dengan tujuan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun agar harga kereta lebih berdaya saing akan memberi kesan kepada pengeluaran kereta nasional.
Barjoyai, yang juga Pengarah Bersekutu Akademik dan Program Global Pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak berkata tindakan itu juga akan menyebabkan industri automotif negara menjadi kurang berdaya saing.
“Bila tak berdaya maju ia akan libatkan banyak kesan rantaian ke bawah termasuk mungkin menjejaskan lebih sejuta pekerja dalam sektor ini,” katanya.
Pendapat Dr Barjoyai itu turut disokong Presiden Persatuan Automotif Malaysia Datuk Aishah Ahmad yang mempersoalkan kemampuan kerajaan PR untuk menjana hasil untuk mentadbir negara jika cukai eksais dihapuskan.
Aishah berkata pembangkang seharusnya memikirkan kesan baik dan buruk sesuatu cadangan sebelum melaksanakannya kerana jika tersilap akan menjejaskan sumber kewangan dan seterusnya membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
Bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman, janji yang terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang sebenarnya telahpun dilaksanakan kerajaan BN selama ini, termasuk gaji minimum, insentif percukaian, dan perumahan rakyat.
Mengenai janji mewujudkan caruman nasional RM500 sebulan sehingga pencen kepada semua penjawat awam, Omar berkata ini satu lagi janji kosong pembangkang.
“Jika dahulu mereka janji nak bagi elaun ibu tunggal dan bantuan kepada murid sebulan RM50 di Selangor pun sampai sekarang mereka tak tunai, macam mana nak beri RM500 sebulan kepada 1.4 juta penjawat awam negara ini? Ini semua perlu difikirkan semula oleh rakyat,” katanya.
Presiden Pertubuhan Pemikir Muda Malaysia (PPMM) Mohd Rafiq Naizamohideen berkata jika pada PRU lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ada menyatakan manifesto bukanlah janji dan tidak perlu ditepati, maka kali ini juga pastinya ia akan membawa nasib yang sama.
“Oleh itu, rakyat tidak perlu mempercayai manifesto kali ini bagi mengelak daripada tertipu seperti pengundi di Selangor, kerana pakatan pembangkang tidak akan bertanggungjawab terhadap manifesto yang mereka buat apabila berjaya menjadi kerajaan,” katanya.
Pandangan Mohd Rafiq turut dikongsi presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang menyifatkan kalimat dalam manifesto itu tidak lebih daripada susunan ayat yang disalut ‘gula-gula manis’ untuk memikat hati rakyat.
“Bila sampai masanya mereka mencari seribu dalih memberi justifikasi mengapa manifesto tersebut tidak dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata manifesto adalah komitmen dan sebuah kontrak antara rakyat dan parti politik.
Oleh itu, katanya sesebuah parti tidak boleh menampilkan manifesto untuk menipu rakyat, memujuk dan memikat mereka untuk mengundi.
Katanya amat penting bagi parti politik untuk memahami bahawa apa jua yang ditampilkan dalam manifesto itu, mereka mesti bersedia mengotakannya serta menunaikan apa yang dijanjikan.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani melontarkan persoalan yang penting: “Adakah PR mempunyai masa dan wang untuk melakukannya dalam tempoh lima tahun memegang kuasa?”