LAHAD DATU: Seorang wakil rakyat Sabah menggesa kerajaan negeri mengharamkan kemasukan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua ke negeri itu kerana mendakwa pencerobohan militan Filipina di Kampung Tanduo adalah sandiwara Umno.
Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Datuk Nasrun Datu Mansur berkata kenyataan Tian Chua itu adalah fitnah dan menggambarkan pemimpin pembangkang terbabit langsung tidak menghargai nyawa manusia.
“Kita tidak mahu dia bawa budaya songsang ke negeri ini dan kita berharap dia tidak dibenarkan pijak kaki di Sabah sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap Tian Chua di Balai Polis Lahad Datu, di sini Jumaat.
Nasrun yang juga Ketua Umno Bahagian Silam, berkata rakyat pelbagai suku kaum di negara ini, khususnya di Sabah, harus menolak individu yang membawa budaya asing dan biadab.
Mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan lima daerah di pantai timur Sabah sebagai kawasan keselamatan khas, Nasrun berkata pengumuman itu amat dinantikan oleh penduduk Lahad Datu.
“Inilah jawapan yang kita tunggu-tunggu. Kawalan keselamatan ketat sangat perlu di sini kerana melibatkan kawasan pantai yang luas,” katanya.
Semalam, Najib mengumumkan Lahad Datu, Tawau, Semporna, Sandakan dan Kudat sebagai Kawasan Keselamatan Khas dengan Lahad Datu sebagai pusat kawalan. –