SERIAN: Mana-mana pihak yang mempertikai serta menghina anggota pasukan keselamatan yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara adalah pengkhianat, kata Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad.
Beliau berkata, seharusnya mereka yang terkorban dihargai dan tindakan mempertikai serta menghina tidak sepatutnya dilakukan.
“Jadi saya harap kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menyokong pergorbanan anggota pasukan keselamatan dan yang penting kita beri sokongan serta semangat kepada keluarga dan balu-balu pejuang negara yang gugur mempertahankan negara tercinta ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah keluarga mendiang ASP Michael Padel, di Kampung Bidayuh Tebakang, di sini, hari ini.
Mendiang Michael, 36, yang juga ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna adalah seorang daripada dua pegawai dan empat anggota polis yang terkorban dalam serangan hendap oleh pengganas Sulu di Kampung Seri Jaya Simunul, Semporna pada 2 Mac lalu.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Operasi/Pencegahan) Superintendan Abang Ahmad Abang Julai bersama kira-kira 50 pegawai, anggota serta ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Kuching.
Pada lawatan itu sumbangan sebanyak RM3,300 hasil kutipan derma kilat di IPD Kuching diserahkan kepada balu mendiang Michael, Jabah Mingku, 35.
Turut berada di rumah keluarga mendiang ialah anak lelaki mendiang Macluie, 11, ibu mendiang Elizabeth Inat Rau serta sanak saudara.