LAHAD DATU — Pencerobohan kumpulan militan dari selatan Filipina di pesisir pantai Lahad Datu 12 Feb lepas membawa pelbagai cerita duka kepada penduduk di kawasan itu.
Penduduk dari Kampung Tanduo, Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Sungai Nyamuk yang diklasifikasi sebagai zon merah terpaksa dipindahkan apabila kumpulan penceroboh menjadikan penempatan peneroka itu sebagai kubu mereka.
Ada antara mereka kehilangan rumah, haiwan ternakan dan hasil sawit berikutan keganasan kumpulan penceroboh itu yang dikatakan membakar rumah penduduk dan merampas ternakan mereka.
Namun lebih menyayat hati ada yang kematian anak kecil kerana serangan pengganas menyukarkan pergerakan untuk keluar mendapatkan rawatan di hospital.
Bagi lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Gabir, 38, beliau tidak akan memaafkan kumpulan militan itu kerana tindakan mereka yang menggugat keamanan kampungnya menyebabkan beliau kehilangan anak bongsu yang baru berusia dua bulan.
Menceritakan peristiwa duka itu, beliau berkata anaknya meninggal dunia di pusat pemindahan di Cenderawasih kerana kesukaran keluar mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan ekoran serangan militan itu.
“Sampai hati mereka (pengganas) buat saya dan keluarga macam ini. Anak bongsu saya meninggal dunia ketika dua hari berada di pusat pemindahan kerana demam panas selain persekitaran yang tidak selesa.
“Macamana kami mahu keluar dalam keadaan yang tidak selamat. Anak saya hanya mendapat rawatan di sini sahaja, dan akhirnya dia pergi…,” katanya sambil menahan sebak.
Bapa kepada tiga anak itu berkata anak bongsunya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Cenderawasih dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan kementerian kesihatan.
“Saya tidak akan maafkan mereka sampai bila-bila. Mereka harus terima hukuman berat termasuk mati kerana itulah hukuman yang paling layak untuk mereka,” katanya.