Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga Ahad meluangkan masa di hujung minggu untuk menjamu selera bersama orang ramai di sebuah restoran di pusat beli belah di sini.
Najib, yang kelihatan santai dengan berbaju-t berwarna putih bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anak iaitu Norashman Razak dan Nooryana Najwa serta tunang Nooryana Najwa, Daniar Nazarbayev memilih kedai makan ‘Little Penang Cafe’ yang menawarkan masakan asli Pulau Pinang untuk menjamu selera.
Antara hidangan makanan yang diminta Perdana Menteri dan keluarganya ialah asam laksa, laksa kuah lemak Siam, ‘Aromatic Chicken Set’ dan ‘Penang Hokkien Prawn Mee’ berserta milo ais, cincau dan barli, dengan pencuci mulut rojak buah.
Kehadiran pemimpin nombor satu negara bersama keluarga di restoran itu menarik perhatian pengunjung ke pusat beli belah itu yang juga mengambil peluang beramah mesra dan bergambar bersama mereka.
Najib dan keluarga meluangkan masa kira-kira satu jam di restoran itu.
Seorang pelayan restoran yang mengambil pesanan makanan Perdana Menteri dan keluarga, Jumat Kasneh berkata beliau berasa teruja dan gembira dengan ketibaan perdana menteri bersama keluarga.
“Perdana Menteri sangat mesra dengan semua orang dan senang untuk berkomunikasi,” katanya yang sudah bekerja di restoran itu selama 10 tahun.
Sementara itu, dalam laman sosial Facebook beliau, Najib berkata beliau bersyukur kerana negara ini kekal aman dan membolehkan rakyat untuk bebas meluangkan masa bersama keluarga tercinta.
Beliau yang meluangkan hujung minggunya bersama keluarga menikmati makan tengah hari di restoran itu berkata keluarga adalah segala-galanya bagi beliau dan sebab itulah beliau cuba untuk meluangkan masa bersama mereka.
“Kami sekeluarga seronok kerana berpeluang menikmati makanan tempatan yang digemari oleh setiap daripada kita sebagai rakyat Malaysia.
“Saya memilih untuk menikmati Assam Laksa sebentar tadi dan ia sangat menyelerakan, kita cukup dikenali di seluruh dunia dengan pelbagai makanan tempatan yang menyelerakan,” katanya.
Najib berkata dalam kesempatan itu, beliau melihat ramai rakyat Malaysia yang turut mengambil peluang cuti hujung minggu untuk bersama keluarga.