Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar akan meneruskan perjuangan untuk mengisi wawasan negara jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat bagi tempoh lima tahun lagi.
Sambil melahirkan rasa syukur hari ini genap empat tahun beliau menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri, beliau berkata BN akan tetap mempertahankan Putrajaya bagi memastikan wawasan negara tercapai seperti yang ditetapkan.
“Berkat doa sokongan anda, kita bermula perjalanan ini di Putrajaya kerana kita nak pertahankan Putrajaya.
“Hari ini genap empat tahun saya menjadi perdana menteri, saya bersyukur, saya rasa amat terhormat dengan penuh rasa perasaan tawaduk dan rasa rendah diri, menggalas amanah tersebut dengan memberi segala khidmat bakti yang terdaya dan termampu oleh saya,” katanya selepas menyertai Kayuhan Patriotik 1Malaysia di sini Rabu.
Program tersebut merupakan program pertama Najib selepas mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pagi ini bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Program kayuhan sejauh kira-kira 12.5 kilometer turut disertai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Kabinet yang bermula dari Kementerian Kewangan dan berakhir di hadapan Istana Kehakiman.
Kira-kira 10,000 peserta mengambil bahagian dalam acara itu yang terbahagi kepada dua laluan iaitu Kayuhan Ceria sejauh 12 km dan Kayuhan Cergas sejauh 20 km.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Najib juga berkata beliau, timbalannya Muhyiddin, anggota kabinet dan pentadbiran, Ketua Setiausaha Negara serta penjawat awam telah bekerja sebagai satu pasukan dan beriltizam untuk membawa Malaysia ke mercu kejayaan.
Mengulas mengenai program tersebut, Najib berkata beliau dan menteri-menteri Kabinet telah berjaya mengayuh basikal lebih daripada 12 km dan terbukti anggota Kabinet Malaysia tetap cergas dan berupaya bukan sahaja menawan litar tersebut tetapi juga untuk meneruskan perjuangan negara.