Sambil menegaskan pilihan raya kali ini bukan lagi mengenai masa lampau sebaliknya ia mengenai masa depan, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat memberi mandat yang kukuh kepadanya agar mampu melaksanakan transformasi negara dengan baik.
Perdana Menteri yakin dengan pencapaian cemerlang kerajaan yang ditadbirnya selama ini mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dengan baik, serta yakin perpaduan di negara ini mampu menjadikan Malaysia lebih kuat.
“Saya mahu melihat setiap debat yang membina dapat diadakan memandangkan setiap daripada kita mempunyai cara serta pandangan masing-masing untuk Malaysia yang kita cintai,” katanya dalam entri terbarunya di dalam blog www.1malaysia.com.my bertajuk ‘PRU13 – Masa Depan Yang Lebih Cerah Untuk Malaysia’.
Najib berkata ini adalah waktu penting dalam sistem demokrasi negara, sama ada pengundi kali pertama ataupun yang telah melalui pengalaman mengundi sebelum ini, supaya membuat pilihan yang tepat.
“Marilah kita sama-sama membawa masa depan yang baharu dan lebih baik untuk Malaysia,” katanya.
Najib berkata pengalaman banyak mengajar beliau mengenai pelbagai perkara termasuk hubungan antara kerajaan dan perubahan kehendak rakyat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dan sedar akan kepentingan untuk rakyat di negara ini bersatu berdasarkan konsep 1Malaysia.
Beliau berkata pencapaian kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan parti komponen itu adalah kerajaan yang menepati janji kepada rakyat, dan mereka perlu berbangga dengan setiap pencapaian yang dikecapi selama ini.
“Kita akui, masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan, namun, negara kita telah mencapai pelbagai peningkatan sejak empat tahun kebelakangan ini dan kita patut berbangga dengannya,” katanya.
Najib berkata visinya adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik, termasuk memastikan ekonomi terus berkembang agar perniagaan di negara ini mampu mendapat keuntungan berganda, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sebab itulah saya memperkenalkan transformasi politik yang dapat menjamin keselamatan serta kebebasan selain memastikan rakyat berbilang kaum di negara ini terus bersatu agar Malaysia kekal stabil dan makmur,” katanya.
“Malah kita menjangkakan Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2018, iaitu dua tahun lebih awal daripada sasaran asal kita,” katanya.
Najib berkata peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kejayaan ekonomi semata-mata tidak mencukupi untuk menilai sesuatu pembangunan, kerana apa yang lebih penting masyarakat itu sendiri yang perlu merasai sesuatu pembangunan.
Sebagai contoh, katanya, rakyat Malaysia perlu diberi peluang untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan masing-masing tidak kira apa pun bangsa serta kepercayaan agama mereka.
Beliau berkata mereka perlu sentiasa berasa selamat berada di dalam komuniti Malaysia selain mendapat bekalan air bersih dan infrastruktur jalan yang berada dalam keadaan baik.
“Dalam tempoh hanya empat tahun, kita telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan setiap hasrat rakyat itu mampu dicapai. Kini, 84 peratus daripada kontrak yang dikeluarkan Kerajaan telah mendapat penilaian pencegahan rasuah.
“Kadar jenayah telah menurun hampir 10 peratus setiap tahun. Lebih 3,500 km jalan baru telah dibina dan kira-kira 200,000 rumah telah disalurkan dengan bekalan air bersih, dan lebih lima juta rakyat mendapat manfaat daripada pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia yang sekali gus membantu mengurangkan beban kehidupan harian mereka.
“Kita juga telah memberi pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan memperkenalkan kadar gaji minimum. Selain itu, kita juga telah meminda serta memansuhkan beberapa akta yang tidak lagi relevan termasuk melakukan transformasi terhadap undang-undang percetakan serta menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri,” katanya.
Beliau berkata kerajaan memang benar-benar sedang melakukan perubahan, namun, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan transformasi negara dapat dilaksanakan.
“Anda perlu membuat pilihan untuk masa depan negara yang kita cintai iaitu antara pihak bersifat pesimistik dan berpecah belah, serta tidak bersedia dan sering menabur janji dengan pihak yang lebih jelas serta optimistik terhadap masa hadapan, dan terbukti mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.