‘Khidmat Wan Azizah sudah tidak diperlukan lagi’, merupakan ayat tersirat Anwar Ibrahim ketika mengumumkan bahawa isterinya, yang juga Presiden PKR, tidak akan bertanding dalam PRU ke-13. Pelik sekali kerana Wan Azizah sebagai Presiden parti tidak mengumumkannya sendiri tetapi membiarkan suaminya mengumumkan bagi pihaknya bagaikan seorang surirumah sejati.
Namun, tidak mustahil juga pengumuman tersebut dilakukan Anwar tanpa restu Wan Azizah sebagai Presiden, tetapi hanya merestuinya dalam keterpaksaan sebagai isteri.
Selama ini, Wan Azizah hanya diperlukan untuk meraih simpati rakyat ketika di dalam penjara dan ketika ditimpa skandal seks. Tugas Wan Azizah ialah untuk menunjukkan pada dunia yang Anwar adalah suami yang baik. Dengan Anwar sudah keluar penjara dan perkembangan terkini yang menunjukkan bahawa skandal seks bukan faktor utama untuk menghadapi pilihanraya, maka khidmat Wan Azizah wajar ditamatkan sahaja.
Difahamkan bahawa alasan yang diberi Anwar kepada Azizah adalah untuk mengelak dari dikritik kerana mengamalkan nepotisme. Cukuplah Nurul Izzah seorang, kata Anwar, Wan Azizah bolehlah menumpukan perhatian kepada cucunya pula.
Sebenarnya, di kalangan PKR, pengumuman ini sudah dijangka. Ini kerana, akhir-akhir ini Anwar sering menyifatkan Wan Azizah sebagai gangguan kerana kehadirannya menyebabkan ketegangan di kalangan pemimpin atasan.
Sifat cemburu Wan Azizah menyukarkan Anwar ‘bergerak’ bebas dalam perjumpaan-perjumpaan parti. Nampaknya, apa yang didedahkan oleh Mohd Fareez Kamal Intidzam, pembantu kepada Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin terbukti benar belaka iaitu Wan Azizah terlalu cemburu jika Anwar rapat dengan mana-mana lelaki.
Desakan Fareez agar Wan Azizah ‘diketepikan’ demi parti nampaknya berjaya apabila Anwar memilih untuk menyebelahi anak muda itu, berbanding isterinya sendiri.
Perpecahan di dalam kepimpinan atasan PKR bukanlah rahsia. Seluruh rakyat yang mengikut perkembangan politik cukup maklum bahawa Wan Azizah dan Azmin Ali tidak boleh bertentang mata lantaran hubungan intim Azmin dan isterinya, Shamsidar dengan Anwar. Justeru, usaha untuk mencantas dan mengenepikan sesama sendiri tidak pernah berhenti.
Kem Wan Azizah menyaksikan sokongan kuat dari anaknya, Nurul Izzah dan juga Khalid Ibrahim. Seperti juga Wan Azizah, Khalid juga melihat Azmin sebagai musuh yang merbahaya kerana terlalu tergila-gilakan kuasa.
Azmin meletakkan dirinya jauh lebih tinggi dari Wan Azizah walaupun wanita itu adalah Presiden parti. Dan Fareez disyaki sebagai antara senjata yang digunakan Azmin untuk menyingkirkan terus Wan Azizah. Tidak mustahil, usaha untuk menyingkirkan Nurul Izzah juga sedang berjalan, namun pastinya ia tidak begitu mudah kerana Anwar menyayangi dan meyakini anaknya itu. Sedangkan, Anwar tidak menyayangi isterinya dan langsung tidak menghormati jauh sekali meyakini, kepimpinan isterinya.
Sikap Anwar menyebabkan semua yang berada di dalam parti turut tidak menghormati Wan Azizah sebagai Presiden.
Oleh itu, berdirinya Wan Azizah di dalam PKR hanyalah atas dasar simpati. Selain itu, mereka-mereka yang memilih untuk berada di dalam kemnya adalah mereka-mereka yang memusuhi Azmin. Dengan tersingkirnya Wan Azizah, maka kem ini pun pastinya akan terbubar dengan sendirinya, melainkan Nurul Izzah mampu melonjakkan dirinya di mata Anwar sehingga mengatasi Azmin Ali.
Mungkin Anwar bertindak bijak dengan menyingkirkan Wan Azizah kerana keputusan itu pasti membantu mengekang perpecahan di peringkat atasan. Namun, sukar untuk kita fahami bagaimana Anwar sanggup memilih untuk memberi sokongan kepada kem Azmin, daripada kem isterinya.
Walaupun kita tidak faham, tetapi kita tidak terkejut kerana kita cukup maklum bahawa Wan Azizah berada di bawah sekali dalam senarai keutamaan orang-orang yang disayangi Anwar. Semua orang tahu bahawa yang paling Anwar sayang adalah diri sendiri, diikuti dengan Azmin dan gundik-gundiknya, seterusnya anak-anaknya dan akhir sekali barulah isterinya.
Oleh itu, bukan kita ingin menghasut untuk memecahbelahkan rumahtangga Anwar tetapi kita juga kadangkala kasihan melihat Wan Azizah terus menghambakan dan membodohkan diri demi seorang peliwat dan pengkhianat. Untuk apa sebenarnya?