Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus mempertahankan orang kanannya, Datuk Mustafa Ali dan memberitahu video seks yang menampilkan lelaki mirip setiausaha agung parti itu sebagai tidak tulen.
Abdul Hadi turut mendakwa watak itu dilakonkan oleh orang lain dan membidas pihak yang ‘mengarah’ video tersebut sebagai tidak tahu latar belakang Mustafa.
Dakwanya, Mustafa sebenarnya sakit lutut dan sudah beberapa tahun terpaksa solat di atas kerusi.
“Nak cari pelakon, carilah yang gagah dan kuat sikit (ketawa), nak turun tangga pun (Mustafa) sakit (lutut), nak sembahyang pun atas kerusi.
“Apabila kami dapat tahu berita ini kami pun nak tergelak, macam mana orang yang sembahyang di atas kerusi ini boleh jadi pelakon (ketawa).
“Kalau nak iklan ubat (guna Mustafa), tidak laku ubat itu, carilah yang gagah-gagah (ketawa),” katanya dalam sidang akhbar di Markas Pas Kota Samarahan di sini hari ini.
Beliau mengulas penyebaran rakaman video seks lelaki mirip Mustafa bersama seorang wanita dalam sebuah bilik yang dikesan disebarkan menerusi laman blog.
Video berkenaan sebelum ini dikatakan sudah disebarkan dalam bentuk cakera padat video (VCD) di sekitar Besut, Terengganu, pada Khamis lalu.
Sementara itu, Abdul Hadi yang ditanya tentang kesan penyebaran video itu berkata, ia tidak akan menjejaskan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sebaliknya menambahkan sokongan rakyat.
“Rakyat tahu peringkat (hal) yang sebenar, Allahuakhbar,” katanya.
Mengulas sama ada video itu perbuatan sabotaj daripada kem Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anwarinas di dalam Pas, katanya, beliau tidak tahu perkara yang ‘ghaib’.
“Benda yang ghaib ini hanya Allah yang tahu, maka saya hukum apa yang saya tahu sahaja.
“Saya buat kenyataan Jumaat lalu dan serahkan pada Allah yang tentukan,” katanya.
Pada Oktober 2009, nama Mustafa pernah disenaraikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali sebagai pemimpin bermasalah yang perlu disingkirkan melalui Muktamar Agung Khas (EGM).
Daripada tiga nama itu, hanya Mustafa yang masih memegang jawatan utama manakala Hassan telah disingkirkan dan Nasharuddin pula hanya kekal sebagai ahli biasa Pas.