Sehingga tamat proses penamaan calon pada 20 April 2013, terdapat sekurang-kurangnya 7 kerusi DUN & Parlimen yang menyaksikan pertindihan calon membabitkan PAS dan PKR.
Pertindihan yang berlaku ini melibatkan satu kawasan Parlimen dan 6 DUN di beberapa negeri seperti Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Selangor, menyebabkan ramai penyokong PR pening memikirkan puncanya.
Kebanyakan kerusi yang bertindih calon ini secara umumnya kuota untuk PKR tetapi dipertikaikan oleh PAS kerana merasakan jenteranya lebih kuat di kawasan terlibat.
Namun menurut Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula, pertindihan ini sengaja dilakukan kononnya untuk menghalang kemasukan syaitan sambil mengaitkan peristiwa kejatuhan PR di Perak pada awal 2009.
Katanya, “inilah sebabnya bertindak bertanding itu…nak menyelamatkan Pakatan Rakyat, kita tak mahu jadi macam Perak, perintah sekejap pastu jatuh, PAS bertindak, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat.”
“PAS bertindak untuk memelihara, keteguhan bukan saja masa pilihan raya, keteguhan selepas kita diberikan kemenangan oleh Allah SWT, supaya syaitan-syaitan tidak boleh masuk Pakatan Rakyat.”
Bijak alasan spin yang diberikan Hadi apabila mengaitkannya dengan isu kejatuhan PR di Perak kemudian disabitkan pula syaitan semata-mata untuk meredakan keresahan yang sedang membuak-buak di kalangan penyokong PR khususnya PKR tika ini.
Tapi sedar tak sedar, Hadi sebenarnya meluahkan keraguan PAS terhadap calon-calon PKR, dengan kata lain, penjelasan yang dibuatnya itu mengesahkan lagi betapa selama ini PAS memang tidak percaya dengan kesetiaan pemimpin PKR.
Sesebuah pakatan andainya tidak wujud kepercayaan sesama rakan sepakatan, itu tanda tiada nilai kerjasama utuh di kalangan mereka. Pakatan sedemikian takkan bertahan lama, tiba masanya masing-masing akan bercakaran.
Apa yang berlaku ini memberi gambaran jelas betapa tidak sepakatnya PR untuk menghadapi PRU-13, gabungan rapuh sebegini mustahil untuk mendapat kepercayaan rakyat apatah lagi untuk diberi tanggungjawab menerajui negara.
Justeru itu, tak usahlah PR berangan lagi untuk menang pada PRU-13, sebaliknya lebih baik masing-masing bersiap siaga untuk menghadapi perang sesama sendiri yang dijangkakan berlaku selepas PRU ini kelak.