Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr. Muhammad Fairus Khairudin menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukan pilihan raya dalam konteks biasa tetapi sebagai pertembungan dua agenda besar antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
Beliau yang pernah memegang empat portfolio penting semasa dalam kerajaan negeri berkata, agenda yang dibawa BN ialah mendaulatkan agama, bangsa, negara dan rakyat sementara pembangkang menghalalkan segala cara untuk menawan Putrajaya.
“Perhatikan satu persatu, apa yang Ambiga nak buat seksualiti merdeka, ini gila punya kerja, begitu juga (amalan) lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang hendak dibawa pembangkang.
“Adakah perkara macam ini yang kita mahu dalam negara kita,” katanya ketika berucap pada Program Santai Hari Pekerja Bersama Dr. Muhammad Fairus Khairudin di Kampung Tengah, Bakri, dekat sini malam tadi.
Yang turut hadir calon BN Parlimen Bakri, Chris Lee Ching Yong dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Datuk Saipolbahri Suib yang juga Pengerusi BN Bahagian Bakri.
Fairus berkata, pembangkang kini dilihat seperti bersatu untuk ke Putrajaya tetapi sebenarnya dalaman mereka bergolak dan menolak antara satu sama lain kerana mempunyai cita-cita serta ideologi berbeza.
“Jangan ingat DAP dah kawan dengan Pas dah jadi parti baik, dah terima hudud dan kerajaan Islam. DAP dari dulu, kini dan selamanya kekal parti yang cauvinis, ultra kiasu, anti Melayu dan anti Islam.
“Saya saksi dan saya tahu (siapa DAP), wajib kita tentang DAP keparat ini yang memainkan api perkauman dari dulu. Itu memang kerja mereka. Jangan cuba gadai keharmonian kaum yang lama kita pertahankan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Fairus tidak menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kekuatan sendiri dalam pembangkang berupa sokongan besar pihak Yahudi yang berpakat untuk menjadikannya Perdana Menteri.