IPOH 26 Mei – Dua lelaki maut, seorang cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta bertembung dengan sebuah motosikal di Jalan Lahat di sini, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam insiden pada kira-kira 3.15 pagi itu, pemandu kereta Foong Son Hong, 34, dari Taman Berlian, Menglembu dan penunggang motosikal AS Rajentren, 52, dari Taman Kledang Suria, Menglembu meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat AS Rajentren ditemui 10 meter dari tempat kejadian.
Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta yang dipandu Foon bersama seorang rakan lelaki dari arah Ipoh menuju ke Falim terbabas lalu bertembung motosikal yang datang dari arah bertentangan.
Katanya, rakan Foon yang mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.