KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini menolak dakwaan rakyat negara itu terlibat sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.
Menyifatkan sebagai tidak masuk akal, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia, AKM Atiqur Rahman berkata, pejabatnya tidak mengetahui mengenai dakwaan tersebut.
“Propaganda mengenai rakyat Bangladesh mengundi dalam PRU-13 hanyalah rekaan semata-mata oleh beberapa kumpulan yang mempunyai kepentingan tertentu,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Menurutnya adalah tidak masuk akal bahawa seramai 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke Malaysia seminggu sebelum pilihan raya berlangsung untuk mengundi.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘manipulasi politik, beliau berkata gambaran rakyat Bangladesh menjadi pengundi hantu bukan sahaja meletakkan rakyatnya dalam risiko, tetapi turut memberi imej negatif terhadap negara itu.