Polis menembak mati seorang lelaki selepas berbalas tembakan dengan suspek di Sungai Buloh, Selangor.
Dua lagi rakan suspek yang melarikan diri berjaya ditahan tidak lama kemudian.
Hasil risikan polis mendapati rumah kosong berkenaan menjadi markas persembunyian anggota kumpulan samun berkenaan.
Tiga suspek berada di dalam premis ketika polis melancarkan Ops Sapi kira-kira jam 12.15 tengah malam.
Sebaik menyedari kehadiran polis, salah seorang suspek bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah polis.
Anggota polis yang berbalas tembakan berjaya menembak mati suspek, Azman Aini, 30 tahun atau nama samarannya Man Kecik.
Dia dipercayai terlibat dalam lebih 10 kes samun di sekitar Sungai Buloh dan Petaling Jaya.
Pemeriksaan forensik menemui sepucuk pistol dan beberapa butir peluru.
Mei lalu, suspek melarikan diri ketika ditahan oleh anggota polis di Kamunting, Perak.
Siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah lokasi di Kampung Paya Jaras dalam dan menahan dua lagi rakan suspek.
Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.