Kekasih kepada penyanyi Radhi (OAG) iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri mengesahkan bakal menamatkan zaman solo dengan pemuda itu pada tahun hadapan.
Nur Shahira Ayu atau lebih mesra disapa Ayu, 19, berkata, keputusan tersebut dibuat kerana merasakan hubungan cinta yang mereka semai sejak empat tahun lalu sudah masuk pada fasa yang matang.
“Insya-Allah, saya dan Radhi sudah merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan. Doa-doakanlah agar hajat kami yang baik ini menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran TV9 di Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini, pada Selasa.
Ayu berkata, keluarga kedua-dua pihak sudah mengenali antara satu sama lain dan tidak membantah keputusan itu.
Malah ujar Ayu, dia juga berasa bertuah kerana Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 36, sudah berjaya meninggalkan tabiat buruknya yang pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Jelasnya, walaupun bukan mudah berkawan dengan individu seperti Radhi tetapi dia bersyukur kerana Tuhan memberi kekuatan untuk menempuh cabaran berkasih dengan insan yang terlibat dengan dadah.
“Banyak pengorbanan saya berikan semasa berkawan dengan Radhi dan Alhamdulillah, berkat semangat yang saya berikan termasuklah dorongan daripada keluarga, dia boleh meninggalkan tabiat buruknya. Malah dia juga tidak lagi merokok,” ujar Ayu.
Jelas gadis cantik manis itu, dia juga tidak malu apabila dihina kerana mencintai bekas penagih dadah kerana cintanya kepada duda tersebut disemai dengan penuh rasa kasih dan sayang.
Mengimbas semula detik pertemuannya Ayu berkata, mereka bertemu ketika Radhi membuat persembahan di pusat beli belalah The Curve, Damansara dekat sini ketika dia berusia 15 tahun.
Selepas pertemuan itu mereka menjadi akrab sehinggalah kedua-duanya memutuskan untuk menjadi pasangan kekasih.
Ayu yang merupakan seorang model sambilan berkata, disebabkan berniat untuk mendirikan rumah tangga dengan Radhi, dia telah membuat keputusan menukar imej dengan memakai tudung sejak bulan Disember tahun lalu.
“Alhamdulillah… sedikit demi sedikit saya berubah ke arah yang lebih baik,” katanya.
Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif, 35, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia lapan tahun.