Dulu sewaktu zaman kegemilangan Nik Aziz Nik Mat selaku pemimpin veteran PAS yang paling berpengaruh, bagaikan sudah menjadi kebiasaan apabila jumlah kehadiran di majlis ceramahnya melimpah ruah sehingga berlaku kesesakan teruk berkilometer dari lokasi majlis.
Buka sahaja mulutnya di sesatu majlis ceramah ramailah si penyokong yang bertakbir hingga ada juga yang jadi histeria tiba-tiba dek kerana semangat rasukan yang menerjah datang. Yang mana dapat bersalaman dengannya terasa seperti mendapat berkat kalau boleh seminggu tak dibasuh tangan pun tak apa.
Mengambil kesempatan dari pengaruh tersebut, maka banyaklah PAS Kawasan dan Negeri mengusung orang tua itu ke sana ke mari untuk memeriahkan program anjuran mereka kemudian bila selesai majlis masing-masing senyum sampai ke telinga melihat kantung kutipan wang ‘tiket’ yang diterima.
Demikian gambaran kasar betapa berpengaruhnya Mursyidul Am PAS itu, tapi itu semuanya dulu-dulu punya cerita tatkala masih ramai yang terkeliru dengan mitos dan ceritera keberkatan buatan seorang tok guru jadi-jadian.
Sekarang sudah lain, terlalu banyak perubahan seiring dengan peredaran zaman di mana pengaruh Nik Aziz terlalu jauh bedanya berbanding dulu. Ucap katanya sudah tidak begitu berbekas di kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri.
Hadirin yang datang pun berkali ganda berkurangan membuktikan popularitinya kian merudum. Jika mahu melipat gandakan jumlah kehadiran penyokong bagi memeriahkan sesuatu ceramah, mahu tidak mahu Nik Aziz terpaksa digandingkan dengan orang lain yang lebih popular.
Jika tidak, hambarlah jadinya sama macam betapa hambarnya ceramah PAS di Kuala Besut pada 15 Julai lepas sehingga memaksa Nik Aziz memboikot program ceramah sendiri dengan alasan kesihatan tak mengizinkan. Terkedik-kediklah Mat Sabu sendirian pada malam itu di hadapan sekitar 200 orang juak PAS.
Oleh itu, untuk program akan datang sempena kempen PRK DUN Kuala Besut ini, dengar khabarnya Nik Aziz akan digandingkan bersama Ustaz Youtube atau pun lebih dikenali sebagai Ustaz Azhar Idrus, bertujuan untuk mengekang kegagalan majlis sebelumnya dari berulang.
PAS yakin cara begini boleh menyelamatkan maruah PAS dan mengelakkan air muka Nik Aziz dari dipandang rendah meski pun di masa yang sama ia mengesahkan Ustaz Youtube itu lebih popular berbanding Mursyidul Am PAS.
Begitulah ura-uranya yang menunjukkan betapa terdesaknya PAS tika ini. Jadi atau tidak ura-ura itu kemudian cerita.
Jika gandingan bersama ini gagal dilaksanakan sebagaimana dihasratkan alamatnya terpaksalah sekali lagi Nik Aziz menggunakan alasan kesihatan untuk memulau programnya sendiri, agaknyalah.