Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi, 35, mengesahkan dirinya sudah bernikah dengan Muhammad Nur Farhan Che Bakar, 24, pada 9 Julai lalu selepas dua minggu berkenalan.
Abby berkata, walaupun perkenalan mereka cukup singkat, namun ia bukanlah halangan untuk dia menerima pemuda berasal dari Kelantan itu sebagai suami.
“Selepas seminggu berkenalan, dia melahirkan hasrat untuk melamar saya menjadi isterinya. Pada mulanya, saya agak sangsi dengan keputusannya itu. Namun selepas melihat kesungguhannya, saya terbuka hati untuk menerimanya,” kata Abby kepada BH, semalam.
Ketika ditanya mengenai lokasi majlis pernikahan, Abby memberitahu, dia hanya akan mendedahkan perkara itu selepas perbincangannya bersama beberapa pihak tertentu selesai.
Bernikah di Thailand
Bagaimanapun, difahamkan, pernikahan pasangan ini berlangsung di Thailand.
Kata Abby lagi, majlis resepsi mereka akan diadakan pada 31 Ogos ini di ibu negara.
Berita perkahwinan Abby dan suaminya yang bekerja sendiri tersebar selepas bekas isteri pelakon, Norman Hakim, itu berkongsi maklumat berkenaan dengan memuat naik gambarnya bersama Nur Farhan di laman sosial Instagram dalam keadaan mesra.
Di bawah gambar itu tertera kenyataan yang menerangkan mereka sudah bergelar suami isteri dua minggu lalu, sambil meminta peminat mendoakan kebahagiaan mereka.