Kali ini sasarannya seorang peniaga emas yang nyaris maut selepas ditembak dua penjenayah di lampu isyarat jalan Pandan Makmur, Ampang, siang tadi.
Kejadian terbaru itu yang keempat dilaporkan dalam tempoh lima hari minggu ini.
ACP AMIRUDDIN JAMALUDDIN / KETUA POLIS DAERAH AMPANG JAYA
“Jadi mangsa dalam keadaan tergamam tak dapat buat apa, terus lari ke Balai Polis Pandan Indah setelah penembak atau penunggang motosikal lari menghilangkan diri”.
Tambah beliau, mangsa, Wong Foo Yui, 34 tahun, yang menaiki sebuah Toyota Camry dikatakan berhenti akibat kesesakan lalu-lintas.
Dua lelaki bermotosikal yang berhenti di sisi keretanya terus melepaskan tembakan.
Salah satu tembakan terkena bahu kanan mangsa.
Dia segera dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Pemeriksaan forensik menemui beberapa kelongsong peluru dan kesan tembakan di kereta mangsa.
Siasatan awal mendapati motif kejadian ada kaitan dengan perniagaan emas yang diceburi mangsa sejak lima tahun lalu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis berdekatan.